
KUALA LUMPUR, 9 Sept 2025 – Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Taman Sri Rampai bakal menganjurkan Karnival Sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Merdeka (3M) pada 15 hingga 16 September 2025, bersamaan 12 dan 13 Rabiulawal 1447H.
Bertemakan “Cinta Rasul Membina Ummah, Perpaduan Memacu Malaysia Merdeka”, karnival ini menggabungkan elemen keagamaan, kenegaraan dan kemasyarakatan dalam satu program yang dirancang untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Imam Masjid, Ustaz Ahmad Faidhul Irfan bin Ahmad Mustaffa Kamal, berkata program ini merupakan manifestasi peranan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan komuniti. Ia juga bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dan kasih sayang sesama insan, tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Menurut beliau, pengunjung dari luar termasuk peserta Pertandingan Joran Malaysiaku dijemput untuk beriktikaf di masjid, menyertai qiamullail, solat berjemaah dan forum subuh khas yang akan dikendalikan oleh tokoh-tokoh agama terkenal. Tambahan pula, menu kambing golek akan disediakan kepada semua hadirin sebagai simbolik ukhuwah.
Karnival ini turut membawa objektif menyemarakkan cinta kepada Rasulullah SAW dan negara, memupuk keharmonian kaum, memperkasa golongan asnaf, serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam program berimpak tinggi dan bersifat kesukarelawanan.
Antara acara utama yang bakal berlangsung termasuk Tausiah Maulid dan Qasidah bersama Habib Najmuddin, Qiamullail bersama Ust Rozmie Rejab, serta Forum Subuh Khas bersama Ustaz Amran Yusoff, Haji Ijam dan Haji Iwan Shahman.
Selain itu, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti Sukan Rakyat, Pertandingan E-sport FIFA, Pertandingan Mewarna, Aktiviti Kanak-Kanak Soopa Doopa, serta menikmati perkhidmatan percuma seperti rawatan fisioterapi dan pemeriksaan kesihatan hasil kerjasama dengan MAIWP.
Golongan asnaf juga tidak dilupakan melalui Program Sumbangan Asnaf Al-Falah dan penyertaan mereka dalam pameran jualan, sekali gus membuka ruang menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi mereka.
Pihak penganjur menjangkakan lebih 5,000 pengunjung akan hadir sepanjang dua hari program berlangsung. Kehadiran komuniti tempatan, keluarga peserta memancing serta masyarakat umum dijangka menyemarakkan lagi suasana sambutan 3M ini.
Orang ramai yang berminat menyertai sebarang acara sepanjang karnival ini boleh menghubungi Ustaz Hanif di talian 011-1195 4909 untuk pendaftaran dan maklumat lanjut. Semua lapisan masyarakat dijemput hadir bagi mengimarahkan masjid dan menghayati semangat cinta Rasul dan Malaysia yang merdeka.