KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2024 – Kempen Cuti-Cuti Malaysia kini tidak lagi berkisar percutian semata-mata apabila buat julung-julung kalinya Tourism Malaysia bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia serta lain-lain agensi di bawah MOTAC bagi menyuntik perspektif baharu dalam mempromosikan pelancongan domestik menerusi penggabungan aktiviti kraf, seni, budaya dan warisan tempatan.
Bertemakan “Crafting Holidays”, penganjuran Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 yang berlangsung dari 25-27 Oktober 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, bukan sahaja menawarkan lebih 200 jualan pakej pelancongan dengan tawaran diskaun antara 15 sehingga 50 peratus, malah menyajikan pelbagai demonstrasi dan jualan kraf serta makanan warisan.
Turut dilancarkan ialah Pakej Kompleks Kraf yang menawarkan lawatan berpandu berkumpulan serta aktiviti interaktif kraf di empat buah kompleks kraf iaitu Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Johor dan Kompleks Kraf Melaka. Kesemua pusat kraf setempat tersebut memiliki tarikan tersendiri merangkumi komponen seperti Pusat Jualan Kraf, Muzium dan Galeri Kraf Warisan, Perkampungan Kraf, Perkampungan Pelukis, Taman Etno Kraf dan Taman Madu Kelulut. Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan atau menyertai demonstrasi dan aktiviti interaktif kraf seperti anyaman rotan, kraf batik, seramik, copper tooling dan pembuatan kompang.
Untuk memudahkan para pelancong merancang percutian serta mendapatkan produk kraf di setiap negeri, aplikasi Craft On The Go (COTG) turut boleh dimuat turun serta dimanfaatkan oleh pengguna bagi mengetahui maklumat berkenaan profil usahawan, butiran produk, lokasi pusat jualan (outlet) serta akaun media sosial mereka.
YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, sejak tahun 1999, Tourism Malaysia telah mempromosikan penjenamaan kempen Cuti-Cuti Malaysia yang bertujuan mengajak rakyat Malaysia untuk bercuti di dalam negara secara terancang dengan memanfaatkan tawaran pakej istimewa yang dipromosikan sewaktu penganjuran pameran jualan pelancongan.
Beliau berkata, penganjuran KCCM 2024 yang menawarkan pengalaman unik dalam aktiviti kraf, seni, budaya dan warisan tempatan, diharap dapat merancakkan lagi pergerakan pelancongan domestik (interstate dan intrastate) sekali gus berupaya merangsang kunjungan pelawat domestik serta peningkatan ketibaan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pada tahun 2024, kementerian telah menetapkan sasaran seramai 221 juta pelawat domestik dengan jangkaan perbelanjaan domestik sebanyak RM92.7 bilion. Setakat Januari sehingga Jun 2024, prestasi pelancongan domestik merekodkan perkembangan positif apabila mencatatkan 127 juta pelawat domestik dengan perbelanjaan pelancongan domestik sebanyak RM52.2 bilion.
“Angka ini disasarkan akan terus meningkat kepada 241 juta pelawat pada tahun 2025 dan seterusnya kepada 261 juta orang pada tahun 2026 dengan jangkaan perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM115.2 bilion,” katanya.
Antara pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan kepada para pengunjung merangkumi aktiviti pengembaraan seperti jelajah warisan, sukan air, selam skuba, birding dan stargazing serta pakej penginapan, alam semula jadi, taman tema dan pengalaman budaya.
Selain menampilkan Pasar Saloma yang bertemakan perkampungan Melayu klasik dengan lebih 30 reruai menawarkan pelbagai juadah tradisional, kuih-muih dan produk kraf, para pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis, tarian kebudayaan, pertunjukan roti canai terbang, teh tarik dan aktiviti cabutan bertuah.
Penganjuran KCCM 2024 turut disertai oleh Jabatan Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan Hotel Seri Malaysia serta mendapat sokongan ASTRO, Star Media Group, Zoomer Media, Prowangsa, Advance Sign Indicator (ASI) dan KL Hop-On-Hop-Off (HOHO).