IKAN BAJI 1.095KG BAWA TUAN MUHAMMAD MUTAWALI

0
63
Ir Idzham bersama para pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan.

KLANG, 28 Oktober – IKAN baji seberat 1.095kilogram membawa tuah kepada Muhammad Mutawalli Mohd Adnan apabila ditabalkan juara Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan, dekat sini Sabtu lalu.

Beliau menewaskan Zamiruddin Mohd Yusof yang menaikkan ikan semilang 0.78kg dan Salehuddin Mohd Noor yang menaikkan ikan baji 0.74kg, serta hampir 600 peserta lain.

Dengan kemenangan itu, Muhammad Mutawalli membawa pulang wang tunai RM20,000 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian & Perladangan, Keterjaminan Makanan & Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dzulkarnain Othman dan Penyelaras Parlimen Kapar, Dato’ Seri Aziz Ayob.

Lebih menggembirakan Muhammad Mutawalli ialah apabila menerima tambahan wang tunai RM3,000 yang ditawarkan penganjur jika pemenang adalah penduduk Selangor.

“Saya tidak menjangka ikan baji yang saya naikkan pada jam 8.45 pagi mampu bertahan pada kedudukan juara sehingga pertandingan tamat.

“Berbekal umpan ulat perumpun, saya memburu spesis bersisik seperti senangin, tetapi baji yang memakan umpan. Alhamdulilah, ini rezeki terbaik saya tahun ini,’’ katanya yang berasal dari Kajang, Selangor

Sementara itu, Zamiruddin yang menduduki tempat kedua membawa pulang RM4,000 serta tambahan RM2,000 sebagai hadiah khas penduduk Selangor. Salehuddin pula hanya berpuas hati menerima RM2,000 sebagai pemenang tepat ketiga tetapi tidak menerima tambahan hadiah RM1,000 apabila penganjur mengesahkan beliau adalah pemastautin di Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ir Idzham berkata beliau gembira apabila pertandingan julung kali anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu, mendapat sambutan menggalakkan.

“Kejayaan acara ini akan menjadi pendorong kepada pihak kerajaan negeri untuk meneruskan acara ini di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 8 Disember ini.

“Kita akan menyediakan hadiah lebih lumayan bagi menarik lebih banyak penyertaan,’’ katanya sambil mengucapkan tahniah di atas penganjuran yang dikendalikan LKIM dan Wakjali Event Management itu

About The Author