NILAI, 16 November – Selepas lebih 10 tahun tanpa pertandingan memancing berskala besar, Tasik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini bakal kembali meriah menerusi Cabaran Ngail Nismilan 2026 pada Ahad ini.
Pengerusi Badan Kebajikan Kakitangan USIM (BKKUSIM), Nur Ekmal Buhary berkata, penganjuran itu membuka peluang kepada kaki pancing untuk kembali menguji kemahiran, selain mengimbau pengalaman memancing di lokasi berkenaan.
Menurutnya, tasik tersebut kini tampil dengan wajah baharu menerusi landskap lebih teratur yang menambah keselesaan dan keindahan persekitarannya.
Beliau berkata, pelbagai spesies ikan termasuk patin, keli, lampam, baung, peacock bass, haruan, tilapia dan belida menanti peserta. Dua zon pertandingan turut disediakan bagi membolehkan peserta memilih lubuk terbaik untuk menguji kemahiran masing-masing.
Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM13,600 menjadi tarikan utama pertandingan yang dijadualkan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari itu.
Program sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 tersebut dianjurkan bersama BKKUSIM dan NS Events, dengan kerjasama OAG Worldwide serta TCE Tackles.
Nur Ekmal berkata, dengan yuran penyertaan RM40, peserta berpeluang merebut hadiah wang tunai bagi kedudukan pertama hingga ke-100, selain menyertai cabutan bertuah. Setiap peserta menggunakan satu joran dengan dua mata kail.
Menurutnya, pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan pada Sabtu, 21 November, dari pukul 3 petang hingga 7 malam, dan disambung pada Ahad, 22 November, bermula pukul 7 pagi.
Juara bakal membawa pulang RM4,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM1,000 serta RM500. Peserta di tempat keempat hingga ke-20 menerima RM100 seorang, sementara tempat ke-21 hingga ke-100 membawa pulang RM80 seorang.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya memelihara landskap di pesisiran tasik dengan tidak mematahkan dahan atau merosakkan pokok hiasan sepanjang empat jam pertandingan berlangsung, bagi memastikan keindahan kawasan itu terus terpelihara.
Katanya, penganjuran pertandingan itu selepas lebih sedekad memberi peluang kepada kaki pancing melepaskan rindu terhadap Tasik USIM, di samping menikmati suasana baharu tasik yang kini lebih indah dan teratur.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi urus setia di talian 013-2667011, 012-3554946 atau 012-3701717












