MERIAH! KARNIVAL 3M HIDUPKAN MASJID ABU UBAIDAH

0
195

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah (MAU), Taman Sri Rampai, mencipta kemeriahan tersendiri apabila menganjurkan Karnival 3M sempena sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan pada 15 hingga 16 September 2025 bersamaan 12 dan 13 Rabiulawal 1447H.

Ketua Imam MAU, Ustaz Ahmad Faidhul Irfan bin Ahmad Mustaffa Kamal, berkata lebih 5,000 pengunjung hadir sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap program berteraskan masjid.

Beliau menegaskan penganjuran itu mencapai matlamat utama, iaitu mengimarahkan masjid dengan aktiviti bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat. Malah, pihaknya berhasrat menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan dengan pengisian lebih segar pada masa akan datang.

Antara acara utama yang menarik perhatian pengunjung ialah Tausiah Maulid dan Qasidah bersama Habib Najmuddin, selain Qiamullail yang dipimpin Ustaz Rozmie Rejab.

Tidak ketinggalan, program Forum Subuh Khas menampilkan barisan panel terkenal iaitu Ustaz Amran Yusoff, Haji Ijam dan Haji Iwan Shahman yang menyentuh isu-isu semasa berkaitan umat Islam.

Selain pengisian kerohanian, karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai acara santai seperti Sukan Rakyat, Pertandingan E-sport FIFA, Pertandingan Mewarna, serta aktiviti kanak-kanak yang dikendalikan Soopa Doopa.

Pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan percuma termasuk rawatan fisioterapi dan pemeriksaan kesihatan hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dalam masa sama, golongan asnaf turut disantuni melalui Program Sumbangan Asnaf Al-Falah yang menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Malah, penyertaan asnaf dalam pameran jualan sepanjang karnival membuka ruang kepada mereka menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi keluarga.

Karnival ini juga menjadi platform mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang, sekali gus menjadikan masjid sebagai pusat komuniti yang mesra dan inklusif.

Program berkenaan turut mendapat sokongan padu pelbagai pihak termasuk MAIWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), K2S, MAU serta beberapa agensi kerajaan dan NGO tempatan.

Kejayaan penganjuran Karnival 3M tahun ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti seumpamanya, agar masjid terus menjadi pusat kerohanian, riadah dan pembangunan sosial masyarakat setempat.

About The Author