Oleh ASAN AHMAD
DALAT, 29 November – Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2008 lalu, senario politik negara berubah apabila gabungan parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih tampuk kepimpinan negara walaupun mereka berkuasa untuk beberapa ketika.
Kenapa mereka berjaya menewaskan gabungan parti pemerintah ketika itu?
Mungkin jawapannya adalah ketika PRU ke-14 itu, PH mempunyai beberapa barisan pemimpin yang masih kuat pengaruhnya serta isu-isu yang mereka bangkitkan khususnya isu 1MDB dan juga penyalahgunaan kuasa yang tengah ‘panas’ pada saat itu berjaya mempengaruhi kepercayaan rakyat terhadap mereka.
Begitupun, segalanya sudah berubah sekarang gara-gara berlakunya perpecahan dalam PH, sekali gus meranapkan kerajaan PH yang baharu beberapa tahun berkuasa.
Masalah ketidaksepakatan seperti itu mungkin serba sedikit bakal mempengaruhi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 18 Disember ini kecuali gabungan parti pembangkang mempunyai isu-isu yang betul-betul kuat dan sahih untuk dibawa sepanjang tempoh berkempen nanti.
Jika tiada isu yang betul-betul ‘panas’ serta mampu mengubah sokongan serta kepercayaan rakyat terhadap parti pemerintah, perubahan tidak akan berlaku dan kerajaan sekarang akan terus berkuasa. Begitu jugalah halnya dengan situasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat – antara kubu kuat buat calon parti pemerintah sejak sekian lama yang kini di bawah teraju Gabungan Parti Sarawak atau GPS.
Wakil rakyat di DUN Dalat pada masa ini adalah Dato Sri Hajjah Fatimah Abdullah yang memenangi kerusi tersebut pada PRN 2001 ketika bertanding di bawah payung parti gabungan Barisan Nasional (BN).
Dia sudah menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan selama empat penggal dan jika dia kekal bertanding pada PRN kali ini, ia akan menjadi penggal kelima buat Menteri Kebajikan, Wanita dan Masyarakat Sarawak itu mempertahankan kerusi DUN Dalat.
Menjelang hari penamaan calon (kira-kira seminggu lagi) pelbagai khabar angin mula bertiup kencang di DUN Dalat.
Dikhabarkan ada anak tempatan yang bakal bertanding menentang calon penyandang dengan harapan dapat membawa perubahan atau pembaharuan di kawasan berkenaan. Tidak salah bertanding dan sesiapa sahaja boleh tampil asalkan dia mempunyai kemampuan serta bersih daripada syarat serta peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Khabar terbaharu yang saya dengar adalah kemunculan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang bakal bertanding di DUN Dalat. PSB merupakan parti politik baharu di Sarawak yang ditubuhkan pada 2014 dan diterajui oleh Datuk Wong Soon Koh.
PSB dikhabarkan bakal mempertaruhkan seorang anak tempatan sebagai calon, namun persoalannya – adakah PSB sudah betul-betul bersedia untuk membawa perubahan ketika masyarakat di DUN berkenaan sudah berasa terlalu selesa mendampingi wakil rakyat yang mereka pilih sejak empat penggal lalu.
Saya bukanlah penyokong Dato Sri Fatimah mahupun mana-mana parti politik di Sarawak. Sebagai anak jati DUN Dalat, saya cuma gemar membuat analisis berdasarkan pemerhatian, perubahan mahupun pembangunan yang telah dinikmati oleh masyarakat tempatan selama ini.
Saya akui, setiap kali saya pulang ke kampung kelahiran saya, banyak perubahan telah berlaku dan situasi tersebut menjadi ‘nilai plus’ buat wakil rakyat di DUN Dalat.
Buat mana-mana calon yang yang telah membuat keputusan untuk bertanding di DUN Dalat pada PRN kali ini, mereka perlu siap dengan senjata ampuh untuk melancarkan serangan.
Isu yang mahu diutarakan sepanjang tempoh berkempen itu nanti perlu kukuh, sahih dan mempunyai bukti yang sah. Jika ada isu yang mampu mengubah pendirian para pengundi, saya yakin ia boleh menjejaskan pengaruh yang ada pada calon parti pemerintah.
Manifesto sebenarnya tidak relevan. Ia sekadar janji ‘atas kertas’ yang tidak mungkin dapat ditunaikan, malah sering berlaku dalam setiap pilihan raya.
Calon-calon parti lawan harus bersedia dengan isu-isu paling sensitif serta benar-benar berlaku di DUN Dalat (jika ada) untuk di bawa sepanjang tempoh berkempen nanti. Jika tiada, kedudukan calon penyandang tidak akan tergugat.
Bakal-bakal calon juga harus mempunyai matlamat kenapa mereka menyahut cabaran untuk bertanding. Adakah mereka betul-betul mahu menabur khidmat kepada masyarakat atau sekadar ‘suka-suka’. Jika calon-calon itu benar-benar ikhlas, sebelum dan selepas pilihan raya, dia harus tetap ada mendampingi masyarakat tempatan. Tak kiralah, menang atau kalah – sikap untuk memimpin itu harus ada, sekali gus memudahkan misi untuk menghadapi PRN seterusnya.
Sebelum bertanding pada PRN kali ini, adakah bakal-bakal calon parti pembangkang sudah memikirkan apa isu paling relevan untuk dibawa semasa berkempen nanti?
Pembangunan? Penyalahgunaan kuasa? Penyelewengan? Ketidakadilan mengagih projek pembangunan, isu tanah atau sebagainya?
Adakah perkara-perkara ini menjadi isu kuat di DUN Dalat? Kalau ya, pastikan ada bukti yang kukuh dan sahih. Jadilah seorang pemeriksa yang cekap sebelum bertanding dan bukannya sekadar main tangkap muat.
Sebagai pemerhati, saya jarang mendengar isu-isu panas yang berlaku di DUN Dalat, kalau adapun ia hanyalah isu remeh yang tak mampu menggugat kedudukan calon penyandang.
Kalau bercakap mengenai perubahan fizikal di DUN Dalat, banyak yang sudah berubah. Jalan raya juga semakin diperluaskan sehingga ke kawasan pedalam di Klid. Isu tanah sudah tidak sepanas zaman 80an dulu kerana satu-persatu sudah diselesaikan.
Bagi saya hanya dua masalah yang perlu dilaksanakan segera iaitu krisis air bersih serta kelancaran bekalan elektrik di DUN Dalat. Dua masalah ini sering mengundang kemarahan masyarakat tempatan terutamanya ketika musim perayaan.
Apa pun, saran saya kepada mana-mana calon supaya bertanding secara sihat dan bawa isu yang tidak menyakiti hati mana-mana pihak.
Paling penting adalah untuk menjaga keharmonian kerana masyarakat di DUN Dalat amat terkenal dengan semangat saling membantu serta tinggi nilai budaya kekeluargaannya.
Selamat bertanding kepada semua bakal calon.