DUN DALAT TETAP SUKAR UNTUK DITEMBUSI PARTI PEMBANGKANG

0
1896

Oleh ASAN AHMAD

DALAT, 29 November – Jika ada mana-mana individu yang mahu bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat, elok lupakan hasrat tersebut.

Bukan mahu menghalang, tetapi ini sekadar pandangan yang ada asasnya. Contoh yang amat ketara adalah keputusan pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini yang menyaksikan kepercayaan rakyat kini kembali diberikan kepada Barisan Nasional (BN). Itu indikasi yang amat jelas.

Malah, ia sudah terbukti sejak dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas kecuali pada PRN tahun 1987 yang menyaksikan calon parti pembangkang PERMAS, Wan Madzihi Wan Mahdzar meraih kemenangan selepas menewaskan calon BN (Allahyarham Ghazali Kipli).

Sebelum PRN 1987, Wan Madzihi merupakan wakil rakyat kawasan berkenaan mewakili BN sebelum bertindak keluar menyertai PERMAS.

Selepas PRN 1987, tiada calon parti pembangkang mahu pun bebas yang mampu menggugat kekuatan calon daripada parti pemerintah iaitu Barisan Nasional (BN) di DUN Dalat.

Selepas DUN Dalat kembali berada dalam genggaman calon parti pemerintah iaitu menerusi kemenangan Datuk Seri Mohd. Effendi Norwawi (kini bergelar Tan Sri) pada PRN tahun 1991, kawasan DUN Dalat dianggap sebagai salah satu kubu kuat BN di Sarawak.

Effendi telah menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan selama dua penggal sebelum ia diambil alih oleh Dato Sri Hajjah Fatimah Abdullah (gambar kiri) pada PRN 2001.

Sejak daripada saat itu, Fatimah terus mempertahankan kerusi DUN Dalat sehingga ke hari ini, malah beliau pernah menang tanpa bertanding pada PRN 2006.

Kedudukan beliau sebagai Menteri Kebajikan, Wanita dan Masyarakat Sarawak semakin menguatkan reputasinya, sekali gus mengukuhkan sokongan daripada peringkat akar umbi terhadapnya.

Kekerapannya untuk melawat kawasan yang diwakilinya itu turut menyumbang terhadap kepercayaan masyarakat tempatan terhadap tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

Ini adalah kenyataan yang telah berlaku sejak beliau diangkat menjadi wakil rakyat DUN Dalat sejak 2001 lalu meskipun ada beberapa keperluan penduduk tempatan masih belum mampu dilaksanakan dengan baik terutamanya KRISIS AIR dan BEKALAN ELEKTRIK.

Setelah beberapa penggal menjadi wakil rakyat DUN Dalat, dua keperluan utama para penduduk di kawasan berkenaan masih belum beroperasi seperti yang diharapkan kerana ia sering berlaku gangguan sehingga mengundang kemarahan para penduduk setempat.

Inilah kegagalan paling ketara sejak beliau menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan sejak empat penggal yang lalu.

Walaupun saya bukan penyokong mana-mana parti politik atau calon, tetapi daripada pemerhatian kasar, saya anggap Fatimah sebagai antara ADUN cemerlang kerana telah melaksanakan beberapa perubahan di DUN berkenaan.

Namun, beliau harus bersikap lebih berkecuali dan tidak terlalu condong kepada mana-mana kawasan atau kampung di sekitar DUN Dalat ketika mahu melaksanakan projek-projek pembangunan.

Kesamarataan harus menjadi pegangan agar tidak menimbulkan prasangka buruk masyarakat tempatan.

Memang tidak dinafikan bahawa kelebihan yang ada pada beliau adalah statusnya sebagai menteri penuh dalam kabinet kerajaan negeri Sarawak dan ia sudah pastinya memudahkan tugasnya selaku ADUN kawasan berkenaan untuk menabur janji – sama ada ditepati atau sebaliknya. Janji politik sebenanrya sangat enak untuk didengar apabila tiba musim pilihan raya.

Baik, pada 18 Disember nanti, rakyat Sarawak bakal mengundi bagi memilih parti politik mana yang akan terus menerajui kerajaan negeri Bumi Kenyalang itu.

Seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini, tarikh penamaan calon adalah pada 6 Disember manakala hari pengundian ditetapkan pada 18 Disember.

Sebagai anak jati DUN Dalat, saya lebih tertarik untuk berkongsi analisis mengenai apa yang sudah dan sedang berlaku di DUN berkenaan.

Kalau bercerita tentang perubahan yang telah dilaksanakan di DUN berkenaan, memang ramai yang sudah melihatnya dengan mata sendiri.

Tetapi, perubahan seperti itu terutamanya dari segi pembangunan infrastruktur, bukan jaminan bahawa wakil rakyat yang telah melaksanakannya terus menjadi pilihan rakyat.

Fatimah sebenarnya sangat bernasib baik kerana dia bertanding di kawasan berkenaan mewakili parti pemerintah yang sememangnya sentiasa menjadi pilihan para pengundi khususnya di kawasan pedalaman.

Trend para pengundi di DUN Dalat terutamanya masyarakat kampung golongan warga emas tetap berdiri teguh di belakang calon parti pemerintah walaupun ada pihak cuba untuk mengubah pendirian mereka.

Kumpulan inilah yang sentiasa menjadi penentu kemenangan terhadap mana-mana calon yang bertanding di bawah lambang parti pemerintah kecuali pengundi di kawasan bandar.

Jika jumlah pengundi baharu boleh mengatasi jumlah pengundi warga emas ini, mungkin keadaan akan berubah kerana pendekatan generasi baharu agak berbeza.

Di DUN Dalat, kekuatan masih terletak pada pengundi golongan warga emas yang sememangnya sukar untuk diubah cara pemikiran mereka. Kalau ada pun yang berubah, ia mungkin sebilangan kecil sahaja.

Sebab itulah, saya berani mengatakan bahawa DUN Dalat tetap menjadi kubu kuat calon yang bertanding mewakili parti pemerintah.

Begitupun, mereka tidak boleh berasa selesa, kerana apa-apa boleh berlaku jika calon parti lawan memiliki kekuatan tertentu untuk mengubah situasi.

Sejujurnya, daripada pemerhatian saya, jika kedudukan calon daripada parti lawan yang mahu bertanding di DUN Dalat itu tidak mampu menandingi reputasi yang ada pada diri Fatimah, peluang mereka untuk menang adalah sangat tipis.

Jika ada calon daripada parti lawan yang betul-betul kukuh, berpengaruh serta mampu menjadi tarikan kepada masyarakat tempatan, kemungkinan dia berpeluang untuk mencipta kejutan.

Namun, mereka harus bijak mengutarakan isu yang boleh mengubah cara pemikiran pengundi di kawasan berkenaan –  jika tidak cubaan mereka untuk bertanding akan berakhir dengan kekecewaan.

Jika calon parti lawan yang jarang kelihatan berada di DUN berkenaan, saya nasihatkan agar mereka melupakan hasrat untuk bertanding.

Kalau nak bertanding, harus bekerja keras untuk meraih populariti terlebih dahulu terutama dalam kalangan golongan warga emas agar mereka ini nanti tidak terkejut atau tertanya-tanya melihat kemunculan ketika berlangsungnya pilihan raya.

Untuk menagih sokongan rakyat, kekerapan ‘melawat kawasan’ itu wajib sebagai usaha untuk mempromosikan diri kepada para pengundi.

Walaupun bakal calon-calon berkenaan adalah anak tempatan, belum pasti masyarakat tempatan mengenalinya jika budaya ‘melawat kawasan’ itu diabaikan.

Lainlah Fatimah, dia dikenali oleh seluruh rakyat Sarawak kerana statusnya sebagai Menteri. (Maaf, sekali lagi saya katakana bahawa saya bukannya penyokong beliau atau mana-mana parti politik, tetapi analisis saya adalah berpandukan dengan hakikat yang sebenarnya).

Siapa yang mampu menjatuhkan Fatimah daripada kerusi DUN Dalat?

Berdasarkan pemerhatian saya, para pengundi tidak mungkin akan melakukannya – yang akan menjatuhkan beliau adalah orang-orang kepercayaan atau orang-orang kanannya.

Mereka-mereka inilah yang boleh menjatuhkan kedudukannya jika ada dalam kalangan orang-orang kepercayaanya berlagak melebihi kuasa ‘bos’ mereka.

Sikap orang-orang kanan yang berlagak melebihi ‘bos’ mereka itulah yang akan mengundang kebencian masyarakat tempatan.

Baik Fatimah atau bakal-bakal calon parti lawan yang akan bertanding di kawasan DUN Dalat nanti, mereka harus bijak melantik ‘orang-orang kanan’ yang boleh dipercayai, bertoleransi serta tidak mudah dikuasai emosi negatif ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.

Fatimah boleh dianggap antara ADUN paling lama memegang kerusi DUN Dalat iaitu selama empat penggal bermula pada PRN 2001.

Ini mungkin penggal terakhir buat beliau kerana usinya yang semakin meningkat. Andai dia bertanding lagi pada PRN kali ini dan menang, tugas utamanya selain ‘menjaga kawasan’ adalah untuk mendidik atau membentuk calon pengganti yang bakal menggantikan tempatnya suatu hari nanti.

Begitu juga dengan parti-parti lawan, mereka perlu mengenalpasti individu tertentu yang boleh dibentuk untuk menjadi pencabar terkuat pada PRN akan datang.

Setakat ini, saya belum nampak muka-muka baharu yang berpotensi terutamanya untuk PRN kali ini. Maka atas alasan itulah, saya masih yakin bahawa DUN Dalat kekal menjadi kubu kuat parti pemerintah, terutamanya dengan populariti Fatimah dalam kalangan pengundi tempatan.

Bak gurauan orang Sarawak – ‘letak kayu sekali pun, ia tetap menang jika bertanding di bawah lambang dacing’.

Apa pun, kepada calon-calon yang bakal bertanding di DUN Dalat nanti, saya ucapkan selamat berjuang semoga meraih kejayaan.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here