PROGRAM PENGUMPULAN E-WASTE & MINYAK MASAK TERPAKAI GALAK GAYA HIDUP LESTARI DI KUALA LUMPUR

0
220

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 — Sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025, Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JASWPKL) akan menganjurkan Program Kesedaran Alam Sekitar & Pengumpulan E-Waste dan Minyak Masak Terpakai pada 5 Julai 2025 (Sabtu) bertempat di Kampung Padang Balang, Kuala Lumpur, bermula esok jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Program ini bertujuan mendidik dan meningkatkan kesedaran awam terhadap pengurusan sisa berbahaya serta memperkenalkan amalan kelestarian yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat melalui insentif penebusan tunai dan penyertaan dalam aktiviti komuniti.

Program ini juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan berinformasi kepada peserta. Antaranya termasuk Demonstrasi pembuatan Mudball oleh pelajar SK La Salle, ESG Treasure Hunt, dan River Bank Conservation, iaitu aktiviti berkumpulan yang mengetengahkan aspek pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Kanak-kanak turut tidak ketinggalan apabila disediakan Aktiviti Mewarna bertemakan alam sekitar, bagi menyemai nilai cinta alam sejak usia muda. Manakala masyarakat umum boleh menyertai Program Pengumpulan E-Waste dan Minyak Masak Terpakai, serta menyaksikan Demonstrasi Pengawasan Kualiti Air Sungai oleh pegawai teknikal JASWPKL.

Barangan e-waste seperti telefon bimbit, pengecas, komputer riba, peralatan elektrik kecil serta minyak masak terpakai boleh ditukar kepada wang tunai, menjadikan program ini bukan sahaja lestari tetapi juga memberi manfaat ekonomi kepada peserta.

Program ini mendapat sokongan rakan strategik seperti Haleon, PEWARIS Kampung Padang Balang, Tech Waste Recycling, dan FatHopes Energy, yang memainkan peranan penting dalam aspek logistik, teknikal dan kesedaran komuniti terhadap amalan kitar semula dan pemuliharaan sumber.

Penganjur menjangkakan kehadiran ratusan peserta dari pelbagai latar belakang termasuk pelajar, komuniti setempat, NGO, agensi kerajaan dan sektor swasta. Penyertaan adalah percuma, dan orang ramai hanya perlu membawa barangan e-waste atau minyak masak terpakai ke lokasi acara.

Melalui program seumpama ini, diharap ia dapat menjadi pemangkin kepada budaya pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dan menyeluruh, sekali gus menyokong aspirasi bandar lestari untuk Kuala Lumpur serta generasi masa depan yang lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Majlis perasmian program ini akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan. Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah JASWPKL, Zuraini binti Haji Ahmad Tajudin, Pengarah JASWPKL, Alastair Reed, Pengurus Tapak Haleon (Malaysia) Sdn. Bhd., serta Pengerusi PEWARIS, Rosden Mohd Yassin.

About The Author