SEMINAR ZA’BA, HAMKA HIMPUN 200 PESERTA

0
27

SEREMBAN, 19 Sept – Pemikiran Pendeta Za’ba dan Hamka diketengahkan sebagai antara landasan penting dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran semasa termasuk krisis identiti generasi muda, pendidikan, bahasa serta perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Perkara itu menjadi tumpuan Seminar Antarabangsa Pemikiran Za’ba dan Hamka bertemakan Wacana Pemikiran, Warisan dan Relevansi Sejagat yang berlangsung selama dua hari di Hotel Royale Chulan, di sini.

Seminar anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia (JMM) sempena Festival Kesusasteraan Nusantara 2026 itu menghimpunkan kira-kira 200 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Za’ba atau Zainal Abidin Ahmad merupakan tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu moden menerusi usaha memantapkan tatabahasa, memperkasa pendidikan dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Hamka atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah pula dikenali sebagai ulama, sasterawan, ahli tafsir dan pendakwah Indonesia dengan karya seperti Tafsir Al-Azhar dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang menjadi sebahagian khazanah penting kesusasteraan Melayu-Indonesia.

Seminar tersebut antara lain meneliti bagaimana gagasan kedua-dua tokoh itu boleh diterapkan dalam menangani perubahan budaya membaca, peminggiran bahasa ibunda, kefahaman agama serta kesan ledakan algoritma terhadap kehidupan masyarakat.

Majlis perasmiannya disempurnakan Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dua sesi ucaptama turut diadakan termasuk oleh Prof. Madya Dr. Khairudin Aljunied menerusi tajuk Bagaimana Kita Boleh Melahirkan Pemikir di Zaman Ini: Za’ba dan Hamka Sebagai Penanda Aras, selain Datuk Kamarul Baharin A. Kasim yang membicarakan pemikiran Hamka dalam pendidikan dan dakwah.

Program berkenaan turut menampilkan Dialog Tokoh Nusantara yang membincangkan persamaan dan perbezaan pemikiran Za’ba dan Hamka, di samping beberapa sidang selari melibatkan sarjana Malaysia dan Indonesia dalam bidang bahasa, kesusasteraan, pendidikan, sejarah serta kepimpinan belia.

Selain wacana akademik, Pameran Manuskrip dan Dokumentasi Warisan Za’ba dan Hamka diadakan bagi memberi peluang kepada pengunjung mengenali bahan berkaitan sejarah, karya dan sumbangan kedua-dua tokoh tersebut.

Pemilihan Seremban sebagai lokasi penganjuran turut mengambil kira kekayaan warisan Negeri Sembilan, khususnya tradisi Adat Perpatih dan hubungan sejarahnya dengan dunia Melayu, sekali gus memperkukuh peranan negeri itu sebagai medan wacana intelektual Nusantara.

Seminar berkenaan dicadangkan menjadi acara tahunan LMNS sebagai platform mengangkat tokoh-tokoh besar Alam Melayu dan meneruskan perbincangan mengenai khazanah intelektual Nusantara kepada generasi seterusnya.

About The Author