TEKAD UNTUK BERHENTI MEROKOK SEMPENA HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2021?

0
1674

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Hampir setiap hari kita terpaksa menerima kenyataan Wabak Covid-19 semakin tidak dapat dibendung dengan bilangan kes positif mencecah kadang kala melebihi 7,000 orang.

Apa yang mampu kita laksanakan adalah dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan dan berdoa agar musibah yang melanda ini berlalu pergi.

Pengambilan vaksin merupakan ikhtiar terkini bagi memastikan kita dapat melindungi diri dan melindungi orang di sekeliling.

Namun begitu, ramai yang terlupa untuk memastikan diri tidak berisiko semasa Pandemik ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa sebarang bentuk amalan
merokok termasuk rokok, rokok elektronik, shisha dan lain-lain boleh menyebabkan komplikasi yang teruk jika dijangkiti virus Covid-19.

Perkara ini merupakan realiti di negara kita sendiri yang mana kajian ke atas 5,889 orang pesakit Covid-19 yang telah dimasukkan ke hospital pada 1 Februari 2020 hingga 31 Mei 2020 menunjukkan golongan ini berisiko hampir DUA Kali Ganda untuk mendapat komplikasi paru paru, kegagalan buah pinggang dan kegagalan hati.

Oleh itu , berbaloikah kita meneruskan amalan merbahaya ini? Masih sempatkah kita untuk
berhenti merokok jika ditakdirkan kita antara insan terpilih untuk bertempur dengan virus
Covid-19. Jadi, jangan terlambat.

Bersempena dengan Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD) yang disambut setiap 31 Mei,
Badan Professional dan Badan-Badan Bukan Kerajaan menyeru semua yang merokok, tidak kira rokok konvensional, rokok elektronik, shisha dan lain-lain untuk mengambil Langkah berhenti merokok – TEKAD UNTUK BERHENTI.

Anda boleh dibantu dengan melayari laman sesawang www.jomquit.com.

Menurut Presiden Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dato Dr Saunthari Somasundaram (gambar), merokok dan penggunaan produk tembakau masih merupakan antara faktor penyebab utama lebih daripada 15 jenis penyakit kanser.

“Kami terus berusaha dengan gigih untuk memperkasakan semua rakyat Malaysia untuk melindungi mereka daripada bahan-bahan ini. Melalui ini, adalah menjadi harapan kami bahawa kita akan dapat mengurangkan kadar rakyat Malaysia yang terjejas akibat kanser,” jelasnya.

Bagi Presiden Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Prof Madya Mohamad Haniki Nik MOhamed pula, beliau menjelaskan bahawa industri tembakau menjadikan golongan remaja sasaran mereka sebagai pengganti perokok dewasa yang mati awal sebagai akibat pelbagai penyakit berkaitan rokok.

“Jadi, jangan diperalatkan oleh industri tembakau, berhenti sekarang.”

Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Dr Hung Liang Choo berpendapat bahawa pendedahan kanak-kanak kepada asap rokok atau vape sangat membahayakan kesihatan.

Menurutnya, dalam masa terdekat dan yang lebih serius adalah kesan jangka masa panjang termasuk kecenderungan untuk ketagihan kepada bahan tembakau bila dewasa.

Ramai pakar kesihatan turut berkongsi pandangan mereka dengan harapan agar setiap perokok mengambil langkah pertama untuk berhenti.

“Aktiviti pengawalan tembakau dan produk berkaitan adalah langkah kesihatan awam yang
penting. Namun, untuk sebarang langkah kesihatan awam untuk berjaya, sokongan, tindakan dan perubahan sikap dan sahsiah semua golongan masyarakat amat diperlukan.

“Bolehkah kita berubah? Sangupkah kita berubah? Buangkanlah tembakau dan produk berkaitan daripada kehidupan seharian kita dan tingkatkan kesihatan kita secara rohani dan jasmani,” jelas Setiausaha Persatuan Perubatan Malaysia-Kesihatan Awam (MMA-PHS), Dr Murallitharan M.

Presiden Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Roslizawati Md Ali pula menekankan: “Kami prihatin, kami sayang nyawa; kenapa perlu membakar jangka hayat diri; atau mungkin mengakibatkan komplikasi anak-anak yang lahir dari kita, generasi masa depan kita, juga persekitaran kita. Jadi kami seru –  Jangan esok, sudah terlambat; TEKAD DIRI UNTUK BERHENTI”.

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here