SEPANG, 17 Ogos – Di sebalik deruman enjin dan sorakan penonton yang menggegarkan litar, sebuah inisiatif kreatif kini berjaya menarik ramai pengunjung di setiap venue Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia.
Pertandingan mewarna di atas nama ‘Happy Bag’ bukan sahaja menjadi aktiviti sampingan, malah kini menjadi tarikan utama yang dinantikan oleh keluarga dan kanak-kanak.
Pertandingan tersebut yang baharu diperkenalkan tahun ini dilaporkan sentiasa mendapat sambutan pengunjung di setiap venue Cub Prix setakat ini.
Fenomena ini membuktikan bahawa acara sukan bermotor yang berorientasikan adrenalin juga mampu menyediakan ruang yang santai dan kreatif untuk semua lapisan masyarakat.
Menurut pengurus promosi dan pemasaran Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Yvonne Ng, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi mereka untuk menarik penonton baharu.
“Kami mahu membawa kelainan agar Cub Prix bukan sahaja dikenali sebagai perlumbaan, tetapi juga sebagai acara riadah hujung minggu untuk seisi keluarga.
“Pertandingan mewarna ‘Happy Bag’ ini telah berjaya mencipta persekitaran yang lebih mesra keluarga dan memberikan aktiviti menarik untuk anak-anak sementara ibu bapa menikmati perlumbaan,” jelas Yvonne.
Beliau, selaku penganjur, menyatakan rasa bangga melihat sambutan yang sangat memberangsangkan di setiap venue Cub Prix terhadap pertandingan mewarna Happy Bag setakat ini yang bermula di Sepang awal tahun ini diikuti Tangkak, Johor, Sg. Long Kajang, Teluk Intan, Perak, Kuala Terenggnau dan kembali di Sepang pada 16 ogos lalu.
“Kami percaya kreativiti boleh wujud di mana-mana, termasuk di litar perlumbaan.”
Seorang ibu, Siti Hajar, 38, yang membawa dua orang anaknya menyertai pertandingan mewarna Happy Bag ke Litar Permotodan Terengganu baru-baru ini, mengakui aktiviti ini amat membantu dan sangat bermakna, sekali gus menyerlahkan bakat yang ada pada semua kanak-kanak.
“Anak-anak saya memang seronok ikut suami menonton perlumbaan, tetapi kadang-kadang mereka cepat bosan. Dengan adanya pertandingan mewarna ini, mereka ada aktiviti yang menyeronokkan dan kami boleh meluangkan masa bersama-sama dengan lebih baik,” katanya.
Kejayaan berterusan pertandingan mewarna ‘Happy Bag’ ini dilihat sebagai satu penanda aras baharu dalam penganjuran acara sukan, yang mana ia bukan sahaja memberi fokus pada sukan itu sendiri, tetapi juga membina pengalaman bermakna untuk seluruh keluarga.
Setakat ini, hampir 500 kanak-kanak pelbagai kaum tampil menyahut cabaran pada setiap pertandingan mewarna Happy Bag di semua venue Cub Prix.
Pertandingan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori 3 hingga 6 tahun dan juga kategori 7 hingga 12 tahun.
Hadiah-hadiah yang ditawarkan untuk kedua-dua kategori tersebut berupa wang tunai iaitu RM150 untuk juara; RM100 untuk tempat kedua, RM70 (tempat ketiga) serta RM50 untuk pemenang tempat keempat dan kelima.
Hadiah berupa barangan Cub Prix akan diberikan kepada peserta yang mendapat tempat keenam hingga kesepuluh.
Selepas ini, pertandingan mewarna Happy Bag ini akan diadakan di Litar Lumba Tangkak Johor pada 6 September nanti sempena Pusingan 7 kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia.
Penyertaan adalah percuma dan setiap peserta hanya perlu mendaftar secara ‘walk-in’ di perkarangan pentas utama Litar Lumba Tangkak.