TIJARAH SUITE, EARL CLAYTONT TAWAR PELUANG NIAGA DAN KESIHATAN BERTERASKAN EMAS

0
61
Barisan kenamaan dari kanan; Saiful Apek, Mohd Naszri, Claytont dan Faez Hakimi menunjukkan kad emas sempena majlis MoU Tijarah Suite dan Earl Claytont di Subang.

SUBANG, 5 Jan – Kolaborasi antara Tijarah Suite dan Earl Claytont Wellness Centre (Earl Claytont) membuka lembaran baharu dalam dunia keusahawanan dan kesihatan menerusi konsep unik ‘Health and Wealth’ – gabungan penjagaan kesihatan dan simpanan emas sebagai aset jangka panjang.

Konsep ini bukan sahaja menawarkan rawatan kesihatan holistik, malah memberi peluang kepada pelanggan dan rakan artis untuk membina simpanan emas secara sistematik, sekali gus memperkukuh kestabilan kewangan masa depan.

Pelakon dan pengacara terkenal, Muhammad Saifulazam Mohamed Yusoff atau Saiful Apek mengakui tertarik dengan konsep yang diperkenalkan itu kerana ia menggabungkan dua elemen penting dalam kehidupan moden – kesihatan dan kewangan.

“Saya nampak peluang niaga ini sangat menarik. Sambil jaga kesihatan, kita boleh bina simpanan emas. Ini satu cara bijak untuk masa depan,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama strategik kedua-dua syarikat itu di Subang pada Khamis.

Turut hadir Pengasas Tijarah Suite, Dr. Mohd Naszri Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Earl Claytont, Datuk Earl Claytont Chia dan Pengarah Operasi Earl Claytont, Faez Hakimi Zaharim.

Menurut Saiful Apek pendekatan yang dibawa oleh Tijarah Suite berbeza daripada konsep perniagaan biasa kerana ia bukan sekadar menjual produk, sebaliknya memberi pendidikan kewangan dan kesedaran tentang kepentingan simpanan aset.

“Mereka bukan sekadar jual pakej, tetapi mendidik tentang emas, pelaburan dan peluang niaga. Itu yang buat saya yakin,” jelasnya.

Saiful Apek yang juga Pengasas bersama Tijarah Suite turut melihat konsep ini sebagai peluang strategik untuk golongan artis yang sering berdepan ketidaktentuan pendapatan.

“Bagi artis, simpanan aset sangat penting. Dengan konsep ini, kita boleh mula bina aset sejak awal, bukan tunggu bila sudah susah.

“Kalau mula simpan emas dari sekarang, suatu hari nanti ia boleh jadi modal bisnes, beli rumah atau persediaan masa depan,” tambahnya.

Sementara itu, Faez Hakimi menjelaskan bahawa pelanggan yang membeli pakej rawatan layak menerima emas melalui Tijarah Suite sebagai sebahagian daripada konsep ‘Health and Wealth’.

“Pelanggan bukan sahaja menjaga kesihatan, tetapi juga membina simpanan emas yang nilainya meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah beliau, pakej rawatan ditawarkan bermula serendah RM250 dengan pendekatan perubatan yang sistematik.

“Setiap pelanggan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum rawatan. Selepas itu, barulah mereka layak menerima emas,” jelasnya.

Dalam perkembagan sama, Dr. Mohd Naszri menegaskan bahawa kolaborasi ini turut membawa misi pendidikan kewangan kepada masyarakat.

“Emas adalah simpanan nilai. Hari ini mungkin satu gram, tetapi nilainya boleh meningkat. Pelanggan juga boleh menjual semula emas apabila diperlukan,” katanya.

Tijarah Suite turut memperkenalkan pendidikan simpanan emas sejak usia muda.

“Jika seseorang membeli emas kecil setiap bulan, walaupun satu gram, mereka sebenarnya sedang membina aset yang stabil dan selamat,” ujar Dr. Mohd Naszri.

Malah beliau turut memberi contoh kepada golongan pelajar lepasan universiti.

“Jika mereka membeli satu gram emas setiap bulan selama lima tahun, mereka boleh mengumpul 60 gram. Dalam tempoh tertentu, emas itu boleh digadai sebagai modal besar, contohnya untuk membeli rumah,” katanya.

About The Author