Home Berita Semasa YANG DI-PERTUAN AGONG ISYTIHAR DARURAT DI PARLIMEN BATU SAPI, SABAH

YANG DI-PERTUAN AGONG ISYTIHAR DARURAT DI PARLIMEN BATU SAPI, SABAH

0
772
KUALA LUMPUR, 18 Nov – Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadli Shamsuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, Al Sultan Abdullah bertitah bahawa amatlah wajar Pilihran Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dibatal dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempersembahkan nasihat beliau susulan daripada keputusan mesyuarat Jemaah Menteri, berkenaan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Sabah untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.
“Setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, Al-Sultan Abdullah telah berpuas hati bahawa adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia bagi membolehkan suatu Ordinan dimashyurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 untuk membatalkan tarikh yang telah ditetapkan bagi menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi P.185 Batu Sapi, Sabah,” kata Ahmad Fadil dalam kenyataan tersebut.
Ini bermakna, segala prosiding yang telah dimulakan bagi PRK P.185 Batu Sapi tidak akan diteruskan bagi tujuan mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19.
Satu tarikh lain akan ditetapkan bagi PRK Batu Sapi itu.
“Maka dengan itu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi P.185 Batu Sapi, Sabah dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan wabak Covid-19,” jelas kenyataan itu.
Baginda juga amat prihatin terhadap keselamatan rakyat jelata ekoran daripada peningkatan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di seluruh negara sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah ke-16 pada 26 September lalu.
Justeru, Al-Sultan Abdullah berpendapat bahawa amatlah wajar PRK itu dibatalkan dan ditangguhkan demi keselamatan rakyat jelata dan kesejahteraan negara.
“Perkenan Seri Paduka Baginda ini jelasnya, setelah mengambil iktibar dan pengalaman dari PRU Negeri Sabah ke-16 yang menjadi faktor utama gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini,” jelas Ahmad Fadil lagi.
Berdasarkan data SPR, jumlah pemilih berdaftar di P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya berada di luar bahagian Parlimen termasuk di Semenanjung dan Sarawak.
Dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah dan akan menyukarkan pelaksanaan undi pos.
“Perkenan Seri Paduka Baginda ini juga mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P.185 Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi,” kata Ahmad Fadil.
Dalam pada itu, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong juga bertitah menasihati rakyat jelata agar berdisplin dan memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak Covid-19.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan sanjungan tinggi kepada para wira dan wirawati di barisan hadapan atas ketabahan dan pengorbanan menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa dan penat lelah. Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan.
“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak ini dapat dibanteras dengan berkesan agar ia segera berakhir,” ujar Ahmad Fadil lagi.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here