Jangan khuatir jalani pemeriksaan Sinar-X

0
2786

PENEMUAN cahaya tidak kelihatan yang berupaya menembusi pelbagai jenis tisu badan manusia dinamakan Sinar-X oleh pakar fizik berbangsa Jerman, Wilhem Konrad Roentgan pada 8 November 1895 ternyata memberi dimensi baru kepada dunia
perubatan.

Secara amnya, imej yang terhasil dirakamkan ke filem fotografi yang dipanggil radiografi.

Menariknya, perubatan itu kini dikenali ‘pengimejan diagnostik’ menggunakan peralatan-peralatan diagnostik yang membantu pakar perubatan untuk meningkatkan taraf kesihatan seseorang selain menyelamatkan nyawa.

Peralatan-peralatan diagnostik atau mesin khas itu mengeluarkan sejumlah kecil sinaran yang dikenali sebagai Sinar-X. Sinar ini melalui badan seseorang sebelum jatuh pada filem atau media yang menghasilkan imej.

Menariknya, semasa pemeriksaan, kalsium tulang akan menghalang sinaran yang menyebabkan tulang individu yang sihat sebagai objek yang berwarna putih atau kelabu.

Sebaliknya, sinaran melepasi dengan mudah melalui ruang udara menyebabkan paru-paru sihat kelihatan seperti objek hitam.

Ketua Juru X-Ray Hospital Pakar KPJ Perlis, Faridah Abd Samad Radzi berkata, Sinar-X ternyata membantu doktor melakukan diagnosis dengan lebih tepat.

“Ini membantu melancarkan proses rawatan yang seterusnya malah pemeriksaan ini (Sinar-X) tidak menyakitkan. Kebiasaannya, juru X-Ray adalah terlatih dan mampu
untuk memanipulasi jumlah minimum sinaran yang diperlukan dengan keputusan hasil optimum diperoleh.

“Proses pengendalian imej dijalankan dengan kadar risikonya minimum dan dilakukan apabila ianya bersifat kritikal dan perlu,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menambah berdasarkan beberapa kes, Sinar-X juga boleh digunakan sebagai alat panduan semasa di dalam dewan bedah sewaktu pembedahan yang melibatkan kes-kes patah tulang.

“Sinar ini turut digunakan sebagai alat panduan apabila memerlukan meletakkan implan atau peranti lain dalam badan atau prosedur terapeutik yang lain.

“Setakat ini, kadar peratusan yang pesakit yang menggunakan Sinar-X mendapat risiko kanser adalah kecil dan berada dibawah tahap minimum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Faridah berkata, walaupun penyelidikan telah menunjukkan risiko pemeriksaan Sinar-X ialah sangat kecil namun terdapat alternatif lain seperti Ultrasound dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“Ultrasound ialah penggunaan gelombang bunyi untuk mewujudkan imej struktur dalaman badan, tubuh dan organ dalaman pesakit. Kaedah ini amat berguna bagi
melihat struktur organ dalaman badan dan tubuh seperti payudara, hati, pankreas, hempedu, limpa, buah pinggang,pundi kencing, rahim dan prostat.

“Kelebihan ultrasound tidak melibatkan sinaran radiasi mengion selamat digunakan bagi semua peringkat umur,” katanya.
Sementara itu, Faridah menambah bagi Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) ialah gabungan medan magnet dan gelombang radio untuk menghasilkan gambar 3D.

“Kaedah ini merupakan teknologi terkini yang menggunakan gelombang medan magnet dan gelombang radio bagi menghasilkan imej tisu, tendon dan ligamen.

“Selain itu, MRI amat berguna jika kecederaan yang melibatkan saraf tunjang pada bahagian tulang belakang dan leher dan tidak menggunakan sebarang sinar radiasi mengion,” katanya.

INFO SINAR X

– Seseorang pesakit perlu mengosongkan saluran pencernaan sekurang- kurangnya empat hingga enam jam sebelum pemeriksaan.

– Keperluan berpuasa adalah penting bagi pesakit dewasa yang akan menjalani pemeriksaan melibatkan bahagian abdomen.

– Berpuasa bertujuan supaya organ dan struktur anatomi akan kelihatan lebih jelas tanpa dilindungi dengan najis.

– Mengurangkan kesan sampingan sekiranya berlaku kompilasi terhadap penggunaan media kontras bagi pemeriksaan yang berkaitan.

– Pengambilan air kosong adalah dibenarkan dalam jangka masa tersebut.- MalaysiaGazette

Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM.

 

Content retrieved from: https://malaysiagazette.com/2019/11/30/jangan-khuatir-jalani-pemeriksaan-sinar-x/.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here