Aplikasi OKU hasil pelajar UTeM juara UNIMAKER 2019

0
1017

PUTRAJAYA: Tiga bulan bertungkus lumus menyiapkan aplikasi untuk orang kurang upaya (OKU) penglihatan membuahkan hasil buat dua Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), apabila dinobatkan juara Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan UNIMAKER 2019.

Aplikasi Mata dibangunkan dua pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu berjaya mengatasi lebih 40 peserta dari 20 universiti awam (UA) yang mengambil bahagian.

Peserta, Nurul Najwa Zawawi, 22, berkata aplikasi berkenaan dapat membantu OKU untuk mengenal pasti jenis duit, warna serta mencari barang.

Katanya, melalui aplikasi itu, pengguna hanya perlu menghalakan kamera ke sesuatu objek sebelum ia dapat dikenal pasti.

“Sebelum membangunkan aplikasi ini, kami terlebih dahulu membuat penyelidikan apa sebenarnya diperlukan oleh golongan ini. Dari kaji selidik itu, kebanyakan mereka mengalami kesukaran untuk mengenal pasti jenis wang serta mencari barang seperti kunci dan tongkat.

“Jadi kami dapat idea untuk membuat aplikasi ini. Malah selepas ditunjukkan segala ciri yang terdapat di dalam aplikasi berkenaan, kami mendapat maklum balas yang positif dari mereka.

“Aplikasi ini hanya perlu menggunakan data internet semasa dimuat turun sahaja. Selepas itu, ia berfungsi tanpa sebarang penggunaan data,” katanya kepada BH, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyerahkan replika cek sebanyak RM5,000 kepada Nurul Najwa dan rakannya, Nur Aliah Mohamad Napiah, 22.

Bagi Nur Aliah, kemenangan itu tidak dapat dicapai tanpa bantuan dari penyelia, Mohd Noor Ariff Brahim.

“Beliau banyak membantu kami dalam menyiapkan aplikasi ini. Banyak cabaran untuk menyiapkan aplikasi berkenaan, terutama mengenal setiap satu barang yang terdapat di sekeliling.

“Sebagai contoh, kami memerlukan lebih 10,000 gambar kunci dari setiap sudut bagi sistem membuat pengecaman, sebelum ia dapat dimasukkan dalam aplikasi terbabit.

“Setakat ini, ada lebih 30 barang boleh kenal pasti oleh aplikasi ini, terutama yang berada di rumah. Jumlah barang terbabit akan meningkat dari masa ke masa,” katanya.

Tambah Nur Aliah, aplikasi Mata itu buat masa ini hanya boleh dimuat turun melalui Google Appstore.

Sumber: Berita Harian

 

Content retrieved from: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2019/11/625221/aplikasi-mata-pelajar-utem-juara-unimaker-2019.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here