AZIZULHASNI: ‘BEASLEY ARKITEK KEJAYAAN BERBASIKAL TREK NEGARA’

0
37

KUALA LUMPUR, 7 April – Di sebalik kebangkitan sukan berbasikal trek negara sehingga melahirkan juara dunia dan pemenang pingat Sukan Olimpik, nama John Beasley wajar diangkat sebagai arkitek di sebalik kejayaan itu.

Pengiktirafan itu dizahirkan jaguh trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang menyifatkan Beasley sebagai individu paling berpengaruh dalam membawa Malaysia ke tahap yang suatu ketika dahulu hanya mampu diimpikan.

“Ramai rakyat Malaysia mungkin tidak menyedari sepenuhnya, tetapi John adalah individu di sebalik kejayaan berbasikal trek negara sehingga mencapai tahap yang suatu ketika dahulu hanya mampu diimpikan.

“Kerana beliau, kita menyaksikan sejarah tercipta termasuk lahirnya juara dunia dan pemenang pingat Olimpik dari bumi Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena ulang tahun kelahiran Beasley semalam.

Menurut Azizulhasni, sentuhan jurulatih dari Australia itu bukan sahaja mengubah prestasi atlet, malah mencetuskan revolusi besar dalam pembangunan sukan berkenaan di negara ini.

Beliau berkata, Beasley hadir dengan visi jelas dan keyakinan tinggi terhadap kemampuan atlet Malaysia untuk bersaing dengan kuasa besar dunia.

Tambahnya, semangat, disiplin dan kepercayaan yang diterapkan Beasley menjadi asas kepada pembentukan mentaliti juara dalam kalangan pelumba negara.

“Terima kasih atas segala pengorbanan, semangat dan kepercayaan yang diberikan kepada kami semua,” katanya lagi.

Beasley mula bersama skuad kebangsaan pada 2006 sebagai jurulatih sebelum kini menggalas tanggungjawab sebagai pengarah teknikal.

Di bawah bimbingannya, Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman mencipta sejarah apabila muncul juara dunia acara keirin pada 2017 di Hong Kong.

Kejayaan itu disusuli pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016 sebelum menghadiahkan pingat perak pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Selain Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut mencuri tumpuan apabila muncul juara keirin Piala Negara-Negara di Turkiye tahun lalu serta memenangi gangsa di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Dalam kategori wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus menyerlah apabila menjuarai Kejohanan Asia 2024 dan 2025 bagi acara keirin, selain unggul dalam acara 50 meter dan 1 kilometer ujian masa. – SK

About The Author