CONNOR, JAMIE MENEPATI RAMALAN MARA KE GRAND FINALE

0
172

MIRI, 26 Jun – Connor Liew Axel Kai dan Jamie Tan Huan Ying menepati ramalan apabila mengesahkan slot ke Grand Finale selepas muncul juara pada sirkit kedua kejohanan Golf Jelajah Pembangunan 100PLUS Srixon Malaysia hari ini.

Grand Finale itu nanti yang turut menampilkan pemain antarabangsa, dijadualkan berlangsung di Kelab Golf Kota Permai, Kota Damansara pada Oktober depan.

Bagi Connor, penyertaan kali kedua pada kejohanan ini diharapkan berjalan dengan baik namun perlu lebih bersiap sebelum grand finale bermula.

“Secara spesifiknya saya bertarung dengan diri sendiri. Sebagai contoh hari ini saya mencatat 4 pukulan di atas par pada 6 lubang pertama di awal permainan dan cuba untuk memperbaiki semula catatan selepas itu.

“Saya perlu berlatih untuk meningkatkan stamina kerana golf bukan hanya melibatkan kekuatan fizikal atau mental tetapi ia melibatkan kedua-dua elemen tersebut. Saya lebih tenang jika bermain dengan baik dan berharap dapat melakukannya ketika di Grand Final nanti,” kata Connor.

Turut sama disenarai ke Grand Finale adalah Muhd Farish Abdullah, Ng Li Xin, Brendan Wong dan Ethan Chee Jian Hao.

Sementara itu, Jamie Tan mengetuai senarai 5 pemain perempuan ke saingan Grand Finale bersama-sama Bernice Huang Ee Xian, Nur Fathya Emylda, Abigail Kedung Pearson dan Ngo Yi Belle.

“Pengalaman yang saya belajar sepanjang mengharungi kejohanan ini adalah untuk lebih bersabar ketika bermain. Ada pukulan yang perlu diperbaiki agar kesilapan yang sama tidak berulang.

“Kota Permai memiliki lapangan yang mencabar. Selepas ini saya akan memberi fokus terhadap putting dan cuba mengawal perasaan gemuruh ketika bermain,” kata Jamie.

Pada hari terakhir kejohanan golf Jelajah Pembangunan Malaysia 100PLUS Srixon hari ini menyaksikan Connor dan Jamie mengesahkan status selaku juara bagi kategori Lelaki A dan Perempuan A.

Saingan yang berlangsung di kelab Golf Eastwood Valley Miri, Sarawak itu nyata berbeza berbanding dua hari sebelumnya susulan hujan lebat yang turun sekitar jam 7.45 pagi sekaligus memaksa permainan ditunda lebih 3 jam sebelum disambung semula.

Connor yang bermula dengan catatan 2 pukulan di atas par selepas tamat dua pusingan menutup hari terakhir dengan 73 pukulan untuk catatan keseluruhan 219 pukulan 3 di atas par sekaligus muncul juara bagi kategori Lelaki A

Brandon Wong Yi  pula akur untuk muncul naib juara dengan catatan keseluruhan 237 pukulan manakala Ng Li Xin menghuni tangga ketiga dengan jumlah catatan pukulan yang sama.

Jamie Tan pula menutup saingan hari terakhir dengan catatan keseluruhan 224 pukulan untuk mengesahkan status sebagai juara Perempuan A.

Kategori Lelaki B pula diungguli Ethan Chee Jian Hao manakala Perempuan B menjadi milik Nur Fathya Emelda selaku juara.

Seramai 64 pemain golf remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun bersaingan pada sirkit kedua di kelab Golf Eastwood Valley Miri, Sarawak itu bagi memilih 10 pemain terbaik yang akan bersaing dengan 40 lagi pemain lain dari beberapa negara luar pada Grand Finale nanti.

Kejohanan Jelajah Pembangunan Malaysia ini  dipertandingkan dalam tiga sirkit yang mana sirkit pertama telah berlangsung di Kelab Golf Templer, Rawang pada 6 hingga 8 Jun lalu.

Sirkit ketiga dan terakhir akan diadakan di kelab Golf Glenmarie, Subang pada 8 hingga 10 Julai nanti.

About The Author