HOKI: JURULATIH SKUAD WANITA TERUS JADI TANDA TANYA

0
1557

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) masih belum menemui kata putus berkenaan siapa yang layak untuk dilantik menjadi ketua jurulatih skuad hoki wanita negara.

Meskipun sudah ada empat calon yang telah disenarai pendek, tetapi KHM masih memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan pilihan mereka agar ia menepati ciri-ciri yang diinginkan.

Jawatan tersebut masih belum diisi selepas peletakan jawatan jurulatih terdahulu,  Dharmaraj Abdullah penghujung tahun lalu.

Pada sidang media KHM hari ini, presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan bahawa empat calon yang telah disenarai pendek itu akan melalui proses temuduga kedua pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Temuduga kedua itu nanti akan dikendalikan oleh satu jawatankuasa khas terdiri daripada presiden serta dua timbalan presiden KHM, ahli jawatankuasa kejurulatihan KHM, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Sapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faezal Md Ramli serta Ketua Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainal Abas.

Difahamkan bahawa calon-calon yang telah disenarai pendek itu diberi masa selama tiga minggu untuk menyediakan pembentangan masing-masing, bersesuaian dengan matlamat serta hala tuju KHM bagi memastikan skuad wanita negara berada di ranking pertama Asia berjaya direalisasikan.

Selepas segala pertimbangan dibuat oleh panel temuduga itu nanti, individu yang bakal dilantik menjawat jawatan tersebut akan diumumkan selewat-lewatnya pada 1 September 2020.

“KHM tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa kerana individu yang dipilih nanti mempunyai tugas besar untuk meletakkan skuad hoki wanita negara berada di satu tahap yang tertinggi dalam tempoh enam tahun akan datang,” jelas Subahan.

Empat calon tersebut terdiri daripada dua warga tempatan dan dua lagi adalah jurulatih asing.

Pada sidang media tersebut, KHM juga mengumumkan penstrukturan semula buat skuad senior wanita negara yang bakal menyaksikan mereka digabungkan dengan skuad remaja untuk berada di bawah satu projek khas – Sukan Asia 2026.

Di bawah projek tersebut, 80 peratus daripada pemainnya terdiri daripada mereka yang berusia bawah 21 tahun manakala 20 peratus lagi merupakan pemain melebihi usia 21 tahun.

Dalam perkembangan lain, KHM juga mengumumkan pelantikan Arulselvaraj (gambar kecil) sebagai Ketua Pembantu Jurulatih skuad hoki lelaki negara dan dia akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 15 Ogos depan.

Dengan pelantikan itu, Arul akan bekerjasama dengan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Roelant Oltmas serta dua penolong jurulatih sedia ada, Muhammad Amin Rahim serta Nasihin Nubli Ibrahim yang bertindak sebagai jurulatih penjaga gol.

Selain itu, KHM juga bakal mewujudkan satu jawatan baharu iaitu Pengarah Teknikal Projek Khas 2026 dan individu itu nanti akan memainkan peranan untuk memantau perkembangan Projek Khas melibatkan skuad lelaki dan wanita.

Dia juga akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan KHM yang dipengerusiakan oleh Prof. Datuk Dr. S. Shamala.

Menurut Subahan, langkah tersebut adalah untuk mempastikan agar semua program pembangunan di peringkat akar umbi dapat dijalankan dengan sebaiknya.

Jawatan baharu itu bakal diisi oleh calon berkelayakan selewat-lewatnya 1 September nanti.

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here