CUB PRIX BUKA GELANGGANG DI SEPANG 17-18 JULAI

0
945

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelulusan untuk penganjuran pertandingan bagi sukan tanpa sentuhan (non-contact sports) minggu lalu, kejuaraan Cub Prix Malaysia  akan menjadi acara pertama yang bakal menghiasi agenda sukan negara minggu ini.

Ia menjadi acara pertandingan pertama di negara ini selepas semua aktiviti sukan diberhentikan sejak awal Mac lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Masalah tersebut bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Kini, ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), MKN telah memberi kelonggaran untuk penganjuran pertandingan bagi acara sukan tanpa sentuhan dan salah satu daripadanya adalah sukan permotoran.

Kejuaraan sukan permotoran terunggul di Malaysia itu, dijadualkan membuka gelanggang di Litar Sepang (Utara) pada 17 dan 18 Julai ini, namun ia akan dilangsungkan secara tertutup.

Langkah tersebut adalah untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak MKN.

Pihak penganjur kejuaraan hari ini, telah mengumumkan bahawa perlumbaan bagi musim 2020 hanya akan dilangsungkan sebanyak 8 pusingan sahaja berbanding 10 kebiasaannya, dan kesemuanya akan diadakan di negeri-negeri yang mempunyai litar kekal.

Berdasarkan kalendar kejuaraan bagi musim 2020 ini, Litar Sepang akan menjadi tuan rumah untuk empat pusingan iaitu Pusingan 1 (17-18 Julai) diikuti Pusingan 3 (2-3 September), Pusingan 6 (31 Okt-1 Nov) dan Pusingan 7 pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Litar Lumba Tangkak di Johor pula akan menjadi hos untuk tiga pusingan iaitu Pusingan 2 pada 22-23 Ogos, Pusingan 5 (10-11 Okt) dan Pusingan 8 pada 12-13 Disember.

Kuala Terengganu pula akan menjadi tuan rumah untuk Pusingan 4 yang dijadualkan berlangsung pada 18-19 September nanti.

Buat masa ini, kejuaraan Cub Prix tidak dapat dilangsungkan di litar jalanan/kawasan terbuka kerana ia boleh mengundang kepada situasi yang tidak dibenarkan dalam SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

Jika dilangsungkan di litar kekal, ia akan memudahkan pihak bertanggungjawab untuk mengawal situasi dan atas alasan itu, maka hanya negeri-negeri yang mempunyai litar kekal sahaja dipilih untuk menjadi tuan rumah kejuaraan berprestij ini.

Begitupun, semua pasukan serta staf terlibat dalam kejuaraan ini, WAJIB mematuhi SOP yang telah ditetapkan, selain membiasakan diri menjalaninya dengan norma baharu.

Sebaik pengumuman kalendar baharu itu diumumkan, kumpulan paling gembira sudah pastinya para pelumba.

Kegembiraan mereka sukar untuk digambarkan setelah hampir empat bulan menunggu penuh kesabaran.

Meskipun tanpa sebarang aktiviti sepanjang PKP, tetapi mereka tetap melakukan latihan bagi mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.

Musim ini, bakal menyaksikan perlumbaan bagi kategori baharu iaitu CP125 bagi menggantikan kelas CP115. Kategori lain termasuk CP150, Wira, Pro Am serta beberapa perlumbaan sokongan ‘one-make race’ yang lain.

Sekali lagi DITEGASKAN bahawa kejuaraan tahun ini (atas arahan MKN), akan dijalankan secara TERTUTUP.

Apa kata pelumba selepas pengumuman kalendar kejuaraan hari ini:

“Saya rasa gembira dan teruja sebab dah berbulan tak berlumba. Fizikal dan mental saya buat masa ini berada dalam keadaan yang baik. Saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlumbaan.” – AKID AZIZ (Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor).

“Bagi saya, saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perlumbaan minggu hadapan. Saya sangat gembira kerana dalam tempoh menunggu, macam-macam perkara yang telah saya buat bagi memantapkan riding skill serta fitnes sebagai persediaan menghadapi perlumbaan nanti.” – ALIFF DANIAL (Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor).

“Perasaan saya sangat gembira kerana dapat kembali ke litar untuk berlumba walaupun kalendar kejuaraan musim ini hanya ada 8 pusingan. Alhamdulillah, saya kini sudah bersedia sepenuhnya dari  segi mental dan fizikal. Saya bertekad untuk mencuba yang terbaik tahun ini.” – MD ADIB ROSLEY (Pelumba pasukan iPhone Yamaha YYPang Racing Team).

 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here