KUALA LUMPUR, 10 Jan – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan Terengganu Hockey Team (THT) pada aksi pembuka tirai Liga Hoki Malaysa TNB 2020 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Skuad bimbingan Arul Selvaraj itu menang 3-2 menerusi jaringan Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-19 dan ke-37 diikuti jaringan kemenangan oleh pemain import dari Belanda, Roel Bovendeert pada minit ke-50.
Dua gol THT pula dihasilkan oleh Faizal Saari, masing-masing pada minit ke-26 dan 36.
Selaku juara, UniKL menerima trofi Piala Sumbangsih yang disampaikan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.
Dalam perlawanan lain, skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut membuka kempen dengan kemenangan selepas menewaskan TNB Thunderbolts 3-1.
Maybank pula membelasah Hockademy KL 4-1 manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) menghampakan wakil Kedah, Nurinsafi 4-1 pada perlawanan yang berlangsung di Sungai Petani.