PUTRAJAYA, 18 Ogos – Barisan atlet ke temasya Sukan Orang-Orang Pekak Asia Tenggara (SEA) 2025 edisi ke-2 menerima suntikan semangat baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secara rasmi menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan beraksi pada temasya yang bermula di Jakarta, Indonesia minggu ini.
Majlis yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Putrajaya itu menyaksikan Hannah menyerahkan bendera negara kepada Ketua Kontinjen, Sarkunan Balakrisnan dan pembawa bendera negara, atlet lompat jauh dan lompat kijang negara Zaiman Megat Abu.
Turut hadir Presiden MSDeaf, (Dr.) Ong Shinn Ruenn, para atlet, pegawai serta wakil utama kontinjen negara yang berikrar memberikan persembahan terbaik demi merealisasikan sasaran 16 pingat emas di temasya kali ini.
Kontinjen Malaysia diwakili 80 orang merangkumi 53 atlet dan 27 pegawai, menjadikannya kontinjen kedua terbesar selepas tuan rumah Indonesia.
Pasukan negara akan bersaing dalam kesemua enam acara sukan yang dipertandingkan iaitu Futsal, Olahraga, Badminton, Boling Tenpin, Catur dan Ping Pong dengan sasaran keseluruhan 16 pingat emas.
Majlis tersebut turut menyaksikan pengenalan pakaian dan jersi rasmi Kontinjen Pekak Malaysia, yang disokong oleh Coneli Sdn Bhd, sebuah syarikat pembekal pakaian sukan tempatan yang mengkhusus dalam penghasilan pakaian sukan berprestasi tinggi dan inovatif.
Pada majlis tersebut (Dr) Ong merakam penghargaan kepada KBS atas perhatian dan dana yang diperuntukkan kepada MSDeaf tahun ini.
“Penghargaan tertinggi buat kerajaan di atas bantuan dana yang besar buat kali pertama. Pastinya kontinjen Malaysia akan memberikan yang terbaik untuk persiapan and pembangunan atlet dalam kejohanan-kejohanan besar tahun ini,” jelas Ong.
Sasaran utama pingat emas negara disandarkan kepada pasukan futsal lelaki, acara olahraga, badminton, catur serta tenpin bowling. Kontinjen mensasarkan kutipan tertinggi daripada olahraga (6 emas) dan boling tenpin (5 emas).
Dalam acara olahraga, Zaiman Megat Abu, pemenang pingat emas di temasya sulung 2022, bersama rakan sepasukan dijangka menyumbang kutipan pingat yang besar.
Sementara itu, bintang badminton Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung – pemenang pingat emas di Deaflympics 2022 dan Sukan SEA Pekak 2022 – dijangka meneruskan rentak kemenangan mereka, selain pasangan beregu campuran Edmund Teo dan Boon Wei Ying yang turut memburu kejayaan.
Atlet dalam enam sukan berkenaan telah menjalani program latihan berpusat sejak tahun lalu di beberapa pusat latihan seluruh negara, termasuk Terengganu, Perlis, Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.
Kontinjen negara berlepas ke Jakarta pada 19 Ogos (Selasa), menggalas harapan tinggi rakyat Malaysia untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada edisi sulung pada 2022.












