UBON RATCHATHANI Thailand, 26 Julai – Low Zhen Yong menceriakan kontinjen Malaysia pada hari pertama Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand apabila menyumbang emas pertama negara menerusi kejayaan dalam acara renang 400 meter gaya bebas di Kolam Renang Kampus Banyang Noi Universiti Ubon Ratchathani petang tadi.
Begitupun, perenang utama negara Welson Sim yang memenangi acara yang sama di AUG Myanmar 2018 gagal mempertahankan kejayaan apabila sekadar menyumbang pingat gangsa.
Zhen Yong dari Universiti Sunway bagaimanapun gagal mengatasi catatan rekod kejohanan oleh Welson Sim di Myanmar apabila sekadar mencatat masa 3 minit 59.57 saat.
Skuad renang turut merangkul dua pingat perak dari kolam renang hari ini menerusi Goh Chia Tong (atlet Universiti Sunway) dalam acara 400 meter gaya bebas wanita dengan catatan masa 4 minit 28.51 saat.
Pingat emas acara tersebut dimenangi oleh Chan Zhi Yi dari Singapura dengan masa 4 minit 27.58 saat manakal gangsa milik Prada Hanan Farmadini dari Indonesia.
Pingat Perak kedua Malaysia diperoleh menerusi acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki oleh Ng Tze Xiang dengan masa 24.82 saat. Pingat emas acara ini dimenangi Navaphat Wongcharoen manakala gangsa menjadi milik Joe Aditya Wijaya Kurniawan dari Indonesia.
Selepas selesai saingan hari ini, acara renang telah menyumbang 1 emas, 2 perak dan 1 gangsa menjelang hari perasmian Temasya AUG Thailand, khamis ini.