KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Malaysia, selaku juara bertahan, akan menghantar kontinjen kedua terbesar pada penyertaan di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak Ke-2 2025 di Jakarta, Indonesia dari 20 hingga 26 Ogos dengan sasaran membawa pulang 16 pingat emas.
Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) hari ini mengumumkan penyertaan kontinjen negara yang terdiri daripada 80 atlet yang merupakan jumlah kedua terbesar selepas kontinjen tuan rumah Indonesia yang menampilkan 100 atlet dan pegawai.
Keseluruhannya, kontinjen negara menampilkan 53 atlet dan 27 pegawai yang akan bersaing dalam semua enam acara sukan iaitu Futsal, Olahraga, Badminton, Tenpin Boling, Catur dan Ping Pong.
MSDeaf mensasarkan satu emas bagi Futsal Lelaki, enam emas menerusi Olahraga, dua emas Badminton, dua emas Catur dan lima emas dalam Tenpin Boling.
Pada edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2022, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan meraih 15 emas, mengatasi Indonesia (10), Singapura (6) dan Thailand (2).
MSDeaf turut mengumumkan pelantikan Naib Presidennya, Sarkunan Balakrisnan sebagai Ketua Kontinjen (Chef de Mission) bagi temasya serantau itu.
Sarkunan yang juga Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (SelSDeaf) dihormati kerana dedikasinya membangunkan sukan orang pekak di Selangor selain kejayaan sebagai usahawan pekak.
“Ia satu penghormatan besar dapat memimpin kontinjen negara ke Jakarta,” kata Sarkunan.
“Kita mempunyai kumpulan atlet berbakat dan selain mempertahankan kejuaraan, motivasi kami adalah memberi inspirasi agar lebih ramai rakyat Malaysia menghargai kemampuan komuniti pekak.”
Dalam pada itu, atlet kelahiran Perlis, Zaiman Megat Abu dipilih sebagai pembawa bendera Jalur Gemilang pada temasya tersebut.
Beliau merupakan jaguh lompat jauh dan lompat kijang yang pernah merangkul emas di Sukan SEA Pekak 2022 di Kuala Lumpur.
Zaiman, yang turut meraih emas lompat jauh dan perak lompat kijang pada temasya Sukan Pekak Asia Pasifik Ke-10 (APDG) di Kuala Lumpur Disember tahun lepas, merupakan prospek pingat di Sukan Deaflympics Ke-25 di Tokyo pada November ini.
“Sudah tentu ini merupakan detik amat membanggakan buat saya…dan kami bertekad untuk mengharumkan nama negara,” kata Zaiman.
Pasukan futsal lelaki, pemenang emas edisi 2022 di Kuala Lumpur, dijangka mampu mempertahankan kejuaraan manakala Olahraga juga dijangka menjadi penyumbang utama emas dengan Zaiman sebagai pengemudi utama cabaran.
Bintang negara lain yang menjadi tumpuan termasuk beregu wanita badminton, Boon Wei Ying dan Foo Zu Tung, pemenang emas Deaflympics 2022 di Brazil dan Sukan SEA Pekak 2022, serta gangsa APDG 2023.
Dalam acara beregu campuran, Edmund Teo dan Boon Wei Ying berhasrat memperbaiki pencapaian pingat perak Deaflympics 2022 dan gangsa APDG 2023.
“Atlet-atlet ini membawa harapan besar negara. Mereka telah gigih berlatih sejak tahun lepas dan bersedia memberikan persembahan terbaik. Kami harap seluruh rakyat tampil memberikan sokongan padu,” kata Sarkunan
Persiapan intensif yang bermula sejak tahun lepas meliputi latihan pusat Olahraga di Terengganu, Perlis dan Sabah; Badminton dan Tenpin Boling di Petaling Jaya, Selangor; Catur di Pulau Pinang dan Sabah manakala Ping Pong di Sarawak.
MSDeaf berharap mendapatkan insentif kemenangan pingat buat para atlet menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Begitupun, MSDeaf berjanji memberikan ganjaran kepada pemenang pingat daripada sumber sendiri dengan butiran lanjut akan diumumkan kelak.
Kontinjen Malaysia akan berlepas ke Jakarta pada 19 Ogos 2025.