Kuala Lumpur, 1 Sept – Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Anak Gustin masing-masing dinobat pemenang Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik di majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2019.
Ini adalah kejayaan ketiga Azizulhasni untuk naik ke pentas selaku pemenang Anugerah Atlet Terbaik selepas memenanginya pada 2009 dan 2017.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) kerana memilih saya sebagai pemenang pada tahun ini.
“Sudah tentu saya akan jadikan anugerah ini sebagai sumber motivasi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun hadapan. Keadaan sungguh mencabar, namun saya tidak akan berputus asa dan menguatkan semangat perjuangan demi merealisasikan impian pingat emas pertama untuk rakyat Malaysia,” kata Azizulhasni menerusi rakaman video di Melbourne, Australia.
Pencapaian terbaik 2019 pelumba berusia 32 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu adalah menaiki podium selaku juara di kejohanan trek Siri Dunia di Cambridge Disember lalu, menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer.
Malah, beliau yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ turut meraih pingat emas selepas muncul juara acara pecut individu di kejohanan Trek Asia 2019 yang berlangsung di Korea Selatan pada Oktober 2019.
Azizul mengatasi empat lagi calon – Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), S. Kisona (badminton), atlet luncur ais Julian Yee dan Loh Choon How dalam acara wushu.
Sementara itu, Bonnie Bunyau Gustin daripada sukan powerlifting memecah dominasi olahraga apabila dipilih untuk menerima Anugerah Atlet Para Terbaik 2019.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada SAM di atas anugerah ini. Saya tidak menjangkakan akan dipilih untuk menerima anugerah ini walaupun pencapaian pesaing pesaing yang lain juga tidak kurang hebatnya.
“Anugerah ini akan menjadi suntikan semangat untuk saya dan rakan rakan untuk terus menaikkan sukan para negara di peringkat antarabangsa,” kata Bonnie yg kini berada di Sarawak melalui rakaman video.
Atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu mengatasi tiga lagi pencabar yang disenarai pendek; S Suresh dan Wiro Julin daripada sukan memanah serta Muhd Ziyad Zolkefli daripada sukan olahraga.
Bonnie mencipta sejarah di bumi Kazakhstan apabila meraih dua pingat emas di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan.
Azizulhasni dan Bonnie Bunyau masing-masing membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Penaung Diraja SAM, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berbangga dengan peranan media sukan di Malaysia dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat Malaysia berhubung kejayaan dan perkembangan semasa atlet negara selain memainkan peranan dalam mewujudkan semangat perpaduan dan bersatu padu.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) di atas kejayaan menganjurkan majlis Anugerah SAM – 100PLUS pada tahun 2020 sekaligus meneruskan tradisi penganjuran acara berprestij ini yang telah bermula sejak tahun 1985.
“Sebagai peminat sukan, saya juga mahukan seluruh rakyat agar menghayati budaya bersukan dan menjadikan ia sebagai amalan hidup sihat kita seharian.”
Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menerusi rakaman video.
Selain memberi pengiktirafan kepada atlet yang mencapai kejayaan cemerlang sepanjang 2019, wartawan sukan juga turut menerima pengiktirafan sekali gus berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000 pada majlis Anugerah SAM-100PLUS kali ini.
Anugerah di bahagi kepada enam kategori – Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dengan hadiah wang tunai RM RM7,000 berserta trofi.
SENARAI PEMENANG:
Atlet Terbaik: Azizul Hasni Awang (Berbasikal Trek)
Atlet Paralimpik Terbaik: Bonnie Bunyau Anak Gustin (Powerlifting)
SENARAI ATLET TERBAIK SAM:
1995 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1996 – Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (badminton)
1997 – Nurul Huda Baharin (menembak)
1998 – Lim KengLiat (renang)
1999-2001 – TiadaAnugerah
2002 – Lim Keng Liat (renang) danS.Premila (karate-do)
2003 – Lim Keng Liat (renang)
2004 – Bryan Nikson Lomas (terjun)
2005 – Nicol Ann David (skuasy)
2006 – Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton)
2007 – Wong Mew Choo (badminton)
2008 – Lee Chong Wei (badminton)
2009 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal)
2010 – Pandelela Rinong (terjun)
2011 – Nur Suryani Taibi (menembak)
2012 – Pandelela Rinong (terjun)
2013 – Sazali Samad (binabadan)
2014 – Nicol Ann David (skuasy)
2015 – Pandelela Rinong (terjun)
2016 – Lee Chong Wei (badminton)
2017 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
2018 – Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling
2019 – Mohd Azizul Hasni Awang (berbasikal trek)
ATLET PARALIMPIK TERBAIK SAM:
2016 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2017 – Muhd Ziyad Zolkefli (olahraga)
2018 – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (olahraga)
2019 – Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting)