PERJUANGAN PEMAIN NEGARA MUSNAH

0
695

 

Liu Ying-Peng Soon tewas kepada beregu China.

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Perjuangan pemain negara pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2020 sudah berakhir.

Dua wakil negara yang berjuang pada peringkat separuh akhir di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini telah ditunjuk jalan keluar oleh lawan masing-masing.

Beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas kepada gandingan China, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping 10-21, 13-21 dalam tempoh 33 minit.

Pemain perseorsangan lelaki, Lee Zii Jia pula turut mengalami nasib yang sama apabila perjalanannya dihalang oleh pemain Jepun, Kento Momota 21-10, 21-19.

Begitupun, rentak permainan Zii Jia wajar dipuji kerana dia menjanjikan masa depan yang cerah buat sukan badminton negara.

Apa yang diharapkan adalah agar kekalahan tersebut menjadi pengajaran berguna buat pemain berusia 22 tahun itu, sekali gus menjadi seorang pemain yang lebih matang selepas ini.

Malah, Zii Jia mengakui bahawa prestasinya pada kejohanan kali ini telah menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

“Saya akan terus bekerja keras untuk mengekalkan prestasi permainan dan berharap dapat menampilkan yang terbaik pada aksi di Indonesia nanti,” jelas Zii Jia.

Zii Jia juga telah melakar beberapa kejutan pada kejohanan kali ini apabila menyingkirkan satu persatu barisan pemain pilihan.

Bagi gandingan Peng Soon- Liu Ying pula, kejayaan mereka melangkah ke peringkat separuh akhir diharap menjadi titik kebangkitan semula selepas melalui musim yang agak suram sepanjang tahun lalu.

Pada perlawanan lain yang berlangsung hari ini, pemain Taiwan, Tai Tzu Ying menepati ramalan apabila menewaskan pemain China, He Bing Jiao dalam acara perseorangan wanita.

Tzu Ying menang 21-17, 21-12, sekali gus menempah tempat ke final untuk menentang seorang lagi pemain China, Chen Yu Fei.

Yu Fei meneruskan kemaraan selepas meranapkan impian pemain Sepanyol, Carolina Marin 21-15, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Perseorangan lelaki pula bakal menyaksikan pertembungan antara Momota dengan Viktor Axelsen (Denmark) yang menewaskan wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Long dengan kemenangan 21-14, 21-18.

Bagi acara beregu lelaki pula, aksi final bakal menemukan gandingan China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen dan Kim Gi Jung-Lee Yong Dae dari Korea Selatan.

Jun Hui-Yu Chen mara selepas menewaskan gandingan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 22-20,19-21,24-22 manakala Gi Jung-Yong Dae mengatasi cabaran pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 14-21, 21-19, 21-15.

Acara beregu wanita pula akan menyaksikan pertembungan dua pasangan China, Li Wen Mei-Zheng Yu dan Du Yu-Li Yin Hui.

Dalam acara beregu campuran juga dikuasai beregu China yang akan menemukan gandingan Zheng Si Wei-Hung Ya Qiong dan Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping.

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here