IPOH,Perak, 13 Ogos – SMK Ibrahim Fikri, Terengganu masih belum mahu megangkat bendera putih dalam misi untuk layak ke peringkat suku akhir kejohanan bolasepak Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia-100PLUS Bawah 14 Tahun 2025.
Dengan baki dua perlawanan, maka tiada ruang buat pasukan tersebeut untuk melakukan kesilapan jika mahu merealisasikan impian melangkah ke suku akhir.
Pengendali SMK Ibrahim Fikri, Ahmad Shahiruddin Abd Manan menjelaskan bahawa masih ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik dalam baki dua perlawanan akan datang dan tiada ruang untuk mereka melepaskan mata.
“Kita perlu perkemaskan bahagian pertahanan kerana sedikit kesilapan kecil, ia pasti akan membawa padah kepada kami.
“Bahagian serangan juga perlu diperbaiki kerana kami menghadapi masalah penyudah sebelum ini, tetapi kini ia menunjukkan peningkatan,” kata Shahiruddin.
Terdahulu SMK Ibrahim Fikri melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas tuan rumah, SMK Gunung Rapat pada perlawanan yang berlangsung di Ipoh,Perak.
Skuad kendalian Shahiruddin itu mendahului dua gol menerusi jaringan Muhd Rifqi Fitri Mazlan pada minit ke-12 dan Muhd Akif Ikhwan Rukman yang meledak gol kedua di minit ke-21.
Muhd Adib Putra Mohd Parih merapatkan defisit gol 1-2 buat SMK Gunung Rapat pada minit ke-26, namun Muhd Shahril Izwan Zainuddin memastikan tiga mata menjadi milik SMK Ibrahim Fikri apabila mennjaringkan gol ketiga di minit ke-60.
Dengan kemenangan tersebut, SMK Ibrahim Fikri kini menghuni tangga kelima Kumpulan A, berkongsi 14 mata dengan SMK Putrajaya Presint 14 (1) yang berada di kedudukan keenam selepas mengharungi 9 perlawanan dan mereka dibezakan dengan jumlah jaringan.
SMK Gunung Rapat pula menghuni tangga ke-10 Kumpulan A dengan lima mata selepas mengharungi 10 perlawanan.
Lima pasukan teratas Kumpulan A dan tiga pasukan teratas Kumpulan B Liga Piala Menteri Pendidikan Malaysia-100PLUS B-14 akan layak ke peringkat suku akhir bagi merebut Piala Menteri Pendidikan.
Kedudukan Pasukan
Kumpulan A
1. Akademi Mokhtar Dahari B14 – 22 mata
2. SMK Taman Desa Skudai B14 – 19 mata
3. SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman – 19 mata
4. SMK Seksyen 11 – 17 mata
5. SMK Ibrahim Fikri – 14 mata
6. SMK Putrajaya Presint 14 (1) – 14 mata
Kumpulan B
1. SMK Seri Titiwangsa – 21 mata
2. SMK Tama Desa Skudai B14 B – 19 mata
3. SSBJ – 19 mata
4. SMK Bukit Nenas – 18 mata
5. SMK Putera – 16 mata
6. Akademi Mokhtar Dahari B13 – 15 mata