PICKLEBALL DIPERTANDINGKAN PADA KISDLYMPIC 2026

0
16

KUALA LUMPUR 23 Dis – Sukan yang kian meningkat naik, pickleball secara rasmi diperkenalkan sebagai acara baharu pada temasya Kidslympic 2026.

Pengasas Bersama Kidslympic, Goh Liu Ying berkata, menerusi kerjasama dengan syarikat ekosistem Pickleball, Sports Empire Sdn Bhd, langkah itu akan mengukuhkan lagi misi Kidslympic untuk membina ekosistem sukan belia pelbagai disiplin terbesar di Malaysia.

“Pengenalan pickleball melalui kerjasama ini bukan sahaja menambah satu lagi acara sukan tetapi membuka ruang kepada sukan yang inklusif, menyeronokkan dan mudah diakses oleh kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang.

“Kidslympics merupakan platform yang bukan sekadar menganjurkan kejohanan tetapi membina ekosistem pembangunan sukan belia yang menyeluruh,” katanya pada majlis pelancaran pickleball sebagai sukan baharu untuk Kidslympic 2026 di Bukit Jalil pada Ahad.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman itu turut disaksikan oleh pemegang taruh utama komuniti pickleball, termasuk Presiden Persatuan Pickleball Selangor, Roger Lim.

Liu Ying menjelaskan bahawa menerusi kepakaran dan pengalaman sebagai pemain serta pengadil pickleball, beliau optimis kerjasama ini akan melahirkan lebih banyak peluang, bakat baharu dan minat berterusan dalam kalangan generasi muda.

“Ketika ini, semakin ramai ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka untuk aktif bersukan kerana sukan merupakan medium yang sangat baik dalam membentuk kekuatan mental dan fizikal. Pickleball pula adalah sukan yang mudah dipelajari dan sesuai sebagai aktiviti kekeluargaan.

“Bagi kanak-kanak yang berminat untuk menceburi sukan ini secara lebih serius, Kidslympic turut menyediakan platform bagi membantu mereka mendapatkan jurulatih yang sesuai sebagai persediaan ke peringkat profesional pada masa hadapan,” katanya.

Kidslympic Malaysia ialah temasya sukan pelbagai acara khusus untuk kanak-kanak, satu inisiatif nasional yang didedikasikan untuk memperkasa pembangunan sukan belia dan menggalakkan pertumbuhan holistik melalui sukan.

Sejak mula dianjurkan pada Disember tahun lalu, Kidslympic terus berkembang dengan ia menjadi platform bagi kanak-kanak Malaysia dari pelbagai latar belakang menyertai sukan kompetitif. – sk

About The Author