SUKAN ERATKAN KOMUNITI, KUKUH PERPADUAN – MB SELANGOR

0
327
Pasukan Zon 13 dinobatkan juara, kedua Zon 22,Ketiga Zon 12 dan Keempat Zon 24 bergambar beramai-ramai dalam acara karom berpasukan sempena Sukan Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPAJ 2025.

AMPANG JAYA, 27 JULAI 2025 — Sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi jambatan perpaduan yang mampu menyatukan rakyat pelbagai latar belakang. Itulah mesej utama yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari semasa merasmikan Kejohanan Sukan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di The Campus, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kejohanan sukan di peringkat komuniti adalah platform paling mudah dan berkesan untuk membentuk kepercayaan, kerjasama dan semangat kebersamaan antara rakyat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Melalui program sebegini, kita bukan sahaja bersukan, tetapi membina jaringan mesra antara JKP, PBT dan masyarakat. Ia ruang menyatukan, menyelesaikan isu, dan mencipta kepercayaan. Inilah wajah sebenar Kerajaan Negeri yang dekat di hati rakyat,” ujar beliau penuh semangat.

Tambah beliau, pelbagai aduan seperti sampah, jalan rosak, anjing liar atau pembangunan baharu dapat disampaikan dengan lebih mudah apabila hubungan dua hala ini terbina kukuh melalui aktiviti yang santai dan terbuka.

Kejohanan sukan anjuran JKP MPAJ ini menjadi antara usaha berterusan kerajaan negeri untuk merakyatkan pentadbiran dan memperkukuh penyertaan komuniti dalam pembangunan tempatan.

“Ahli JKP dan pegawai PBT adalah barisan hadapan kerajaan. Sikap prihatin, rajin turun padang dan keterbukaan mereka menjadi penentu kepada masa depan hubungan antara rakyat dan kerajaan,” tambah Amirudin.

Sementara itu, Pengerusi penganjur, Hasrolnizam bin Shaari berkata, edisi ke-15 kali ini tampil lebih segar dan inklusif dengan 12 acara sukan dipertandingkan, termasuk dua acara baharu — pickleball dan e-sukan yang kini semakin digemari masyarakat pelbagai peringkat usia.

“Kami sasarkan penyertaan lebih ramai penduduk tahun ini dan berharap semangat kesukanan ini kekal hingga ke peringkat akar umbi. Terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama padu,” katanya.

Kejohanan yang bermula hari ini akan berlangsung sehingga 10 Ogos depan dan dijangka menjadi medan terbaik untuk memupuk semangat perpaduan dan keharmonian di seluruh kawasan pentadbiran MPAJ.

About The Author