KUALA LUMPUR, 9 Jan – Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia masih belum puas.
Pemain berusia 21 tahun itu masih mahu melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2020 yang sudah memasuki saingan pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Pada aksi hari ini, Zii Jia tampil dalam kelas tersendiri apabila berjaya meranapkan impian pemain India, Sameer Verma 21-19, 22-20, sekali gus menempah tempat ke pusingan suku akhir.
Sebelum ini, Zii Jia telah menyingkirkan pemain No. 4 dunia, Anders Antonsen dari Denmark pada pusingan pertama.
Lawan yang bakal dihadapinya di suku akhir adalah pemain dari China, Shi Yu Qi yang pernah menewaskannya pada kejohanan Piala Sudirman 2019 di Naning, China.
“Pada pusingan seterusnya, saya bakal menentang Yu Qi. Ini merupakan kali kedua saya berdepan pemain dari China itu, kali pertama jumpa, saya tewas dan kurang memberi tentangan.
Kini, saya lebih bersedia dan berharap dapat melakukan yang terbaik untuk meraih kemenangan,” jelas Zii Jia.
Ditanya sama ada, keadaan Yu Qi yang baru sahaja pulih daripada kecederaan akan memberi kelebihan kepadanya, Zii Jia menjelaskan: “Yu Qi sudah kembali mendapatkan rentaknya dan ia bakal menjadi perlawanan yang menarik.”
Zii Jia merupakan wakil perseorangan lelaki tunggal pada kejohanan kali ini selepas pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren terkandas di pusingan pertama ketika berdepan Jonatan Christie dari Indonesia.