CABARAN JORAN MALAYSIAKU TAWAR HADIAH TUNAI RM20,000 SEMPENA KARNIVAL 3M

0
128
Penyertaan seramai 500 peserta sasaran ke pertandingan memancing di Tasik Sri Rampai, Kuala Lumpur pada 16 September 20215 (Selasa) nanti.

KUALA LUMPUR, 8 Sept. 2025 – Sempena sambutan Hari Malaysia, Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan, satu pertandingan memancing berskala besar bertajuk Cabaran Joran Malaysiaku akan diadakan pada 16 September ini di Taman Tasik Sri Rampai, Setapak.

Pertandingan yang menjadi acara utama Karnival 3M itu menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, sekali gus menjanjikan penyertaan hebat dalam kalangan kaki pancing dari seluruh negara.

Juara pertandingan bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM5,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima RM2,000 dan RM1,000.

Peserta yang menduduki tempat keempat hingga kesepuluh pula akan menerima RM200 setiap seorang, tempat ke-11 hingga ke-20 menerima RM150, manakala tempat ke-21 hingga ke-111 masing-masing akan membawa pulang RM100.

Pertandingan ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia atau pengalaman, dan mempertandingkan semua spesies ikan air tawar yang terdapat di Tasik Sri Rampai seperti keli, patin, haruan, tilapia, lampam dan kaloi.

Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi setiap joran dengan dua mata kail, sekali gus menjadikan ia antara pertandingan memancing mampu milik yang menawarkan pulangan lumayan.

Pendaftaran ‘walk-in’ akan dibuka pada 15 September (Isnin) mulai jam 3.00 petang, manakala pada hari pertandingan, kaunter pendaftaran dibuka seawal 6.30 pagi. Proses pemilihan pancang turut berlangsung pada 15 September.

Menurut jurucakap program, Ustaz Haji Isahak bin Othaman, pihak penganjur menyasarkan penyertaan seramai 500 peserta, dan sebanyak 300 helai t-shirt edisi khas Cabaran Joran Malaysiaku akan diberikan secara percuma kepada peserta terawal yang mendaftar sebagai tanda penghargaan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dan memperingati sejarah Islam, malah menjadi wadah ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Cabaran Joran Malaysiaku dianjurkan oleh Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), K2S, MAU, serta beberapa jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Selain pertandingan memancing, Karnival 3M turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti forum agama, rawatan kesihatan percuma, sukan rakyat, e-sukan, pertandingan azan, dakwah kreatif serta pertandingan mewarna kanak-kanak.

Karnival akan bermula pada 15 September (Isnin) dengan pengisian rohani khas Tausiyah Maulid & Qasidah oleh Habib Najmuddin pada jam 9.00 pagi, diikuti ceramah agama dan forum bersama Ustaz Tirmizi Haji Ali dan Ustaz Syed Norhisyam.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan atau mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia di talian 013-2667011, 012-3554946 atau 012-6468111.

About The Author