UPM SERAH INFRASTRUKTUR KAMPUNG ANGKAT MADANI KEPADA KOMUNITI SAWAH SEMPADAN

0
157
Prof. Dr. Ir. B. T. Hang Tuah Baharudin, TNC JINM, UPM menyerahkan papan tanda dan projek Kampung Angkat Madani UPM di Sawah Sempadan sebagai simbolik penyerahan infrastruktur yang dilaksanakan oleh UPM

TANJONG KARANG, 13 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menyerahkan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada penduduk Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang sebagai sebahagian daripada komitmen dalam menjayakan Projek Kampung Angkat MADANI.

Penyerahan kemudahan tersebut berlangsung sempena penganjuran Karnival PUTRA @ Sawah Sempadan pada 13 dan 14 Disember 2025 yang bertempat di Dewan Pusat Komuniti Kampung Kunci Air Buang, Sawah Sempadan pagi tadi.

Program anjuran UCTC-UPM itu mendapat kerjasama pelbagai agensi tempatan termasuk JPKK Kampung Sawah Sempadan, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Karang, DUN Sungai Burong, DUN Permatang, Pejabat Penghulu Tanjong Karang 2, Pejabat Pertanian Daerah Kuala Selangor, Agro Pelancongan Sawah Sempadan dan Pertubuhan Jawa Parlimen Tanjong Karang.

Majlis penyerahan rasmi disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM yang turut merasmikan karnival dua hari tersebut.

Antara kemudahan yang diserahkan termasuk penambahbaikan jeti, taman mini dan laluan pejalan kaki, pembinaan rumah pengumpulan sampah, pemasangan 10 unit lampu jalan berkuasa solar di lokasi strategik, 5 unit kiosk jualan serta penyediaan 3 unit kayak bagi menyokong aktiviti agro pelancongan di kawasan itu.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UPM dalam memperkasakan komuniti luar bandar sejajar dengan hasrat Projek Kampung Angkat MADANI yang digerakkan kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan berteraskan rakyat.

Menurut Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin, penyediaan infrastruktur ini bukan sekadar menambah baik kemudahan fizikal, tetapi turut membuka peluang meningkatkan ekonomi, kesejahteraan dan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Selain penyerahan infrastruktur, pelbagai aktiviti turut dianjurkan sepanjang karnival antaranya perkongsian ilmu berkaitan kesihatan seperti pencegahan denggi dan bahaya merokok, demonstrasi kokedama, pembuatan silaj, pemprosesan jem nenas dan masakan tradisional Jawa.

Aktiviti pemindahan ilmu seperti ini penting dalam menyebarkan pengetahuan praktikal dan meningkatkan literasi komuniti dalam bidang pertanian, pemakanan serta gaya hidup sihat secara berterusan.

Program ini turut menyediakan ruang pendidikan dan latihan secara langsung kepada komuniti dengan pelaksanaan bengkel dan demonstrasi yang memberi impak jangka panjang kepada pembangunan setempat.

Dalam memeriahkan suasana, pelbagai pertandingan diadakan termasuk gusti lengan gaya kampung, pertandingan memancing, gubahan daripada bahan kitar semula, masakan berasaskan ubi kayu dan juadah tradisi Jawa, sukan rakyat, karom serta pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Kesemua pertandingan mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk kampung yang hadir beramai-ramai bersama keluarga bagi mengambil bahagian dan menyokong aktiviti yang dijalankan.

UPM turut menganjurkan pemeriksaan kesihatan percuma melalui kerjasama dengan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) sebagai inisiatif mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti luar bandar.

Pameran dan jualan produk pertanian, inovasi dan teknologi turut diadakan membabitkan penyertaan Fakulti Pertanian, Fakulti Kejuruteraan, Putra Science Park serta Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) UPM.

Agensi berkaitan pertanian seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, MARDI, IADA dan Jabatan Perikanan Daerah Kuala Selangor juga turut serta dalam pameran, sekali gus menambah nilai kepada karnival tersebut.

Program seumpama ini dilihat bukan sahaja mengeratkan hubungan antara universiti dan masyarakat, malah mencipta ruang kolaborasi dalam penyelidikan, inovasi dan pemindahan teknologi yang memberi manfaat bersama secara berterusan.

About The Author