
KUALA KLAWANG, 13 Okt – Pekan Kuala Klawang semalam bertukar meriah apabila ribuan peminat permotoran dari seluruh negara membanjiri kawasan itu sempena Jelebu 2 Wheels Festival 2025 yang berlangsung penuh warna dan aksi.
Festival dua hari yang diadakan pada 11 dan 12 Oktober itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik dengan deruman enjin motosikal pelbagai jenis memeriahkan suasana di pekan Jelebu.
Acara yang kini memasuki edisi ketiga ini menjadi antara program permotoran paling dinantikan di Negeri Sembilan, sekaligus menonjolkan Jelebu sebagai destinasi baharu sukan dan pelancongan komuniti.
Penganjuran kali ini diterajui oleh Majlis Daerah Jelebu (MDJ) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jelebu, serta disokong oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu.
Menurut Yang Dipertua MDJ, Abdul Rahim A. Aziz, festival kali ini berjaya mencapai sasaran apabila lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan program sepanjang dua hari berlangsung.
“Sambutan yang diterima amat luar biasa. Ini menunjukkan Jelebu semakin dikenali dan menjadi tumpuan peminat sukan permotoran dari seluruh negara,” katanya.
Beliau menambah, acara kali ini turut disertai peserta dari Singapura, sekali gus menjadikannya program bertaraf antarabangsa yang memberi impak positif terhadap sektor pelancongan daerah.
“Festival ini bukan sekadar tempat berkumpul peminat motosikal, tetapi juga wadah memperkenalkan Jelebu sebagai destinasi pilihan untuk aktiviti sukan permotoran,” ujarnya.
Sepanjang festival, pelbagai aktiviti riadah dianjurkan termasuk larian santai, zumba, senamrobik, cabutan bertuah serta aktiviti kekeluargaan yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Suasana sepanjang acara berlangsung cukup meriah, dengan kehadiran orang ramai yang datang bersama keluarga menikmati aktiviti santai dalam suasana ceria dan harmoni.
Majlis perasmian Jelebu 2 Wheels Festival 2025 turut diserikan dengan pelancaran Hari Sukan Negara peringkat Daerah Jelebu yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jelebu, YB Dato’ Jalaluddin bin Alias.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar budaya bersukan terus diamalkan dalam kehidupan seharian sebagai langkah ke arah gaya hidup sihat dan perpaduan masyarakat.
“Kalau budaya kesukanan ini dapat kita terapkan dalam kehidupan seharian, banyak manfaat kesihatan boleh kita capai, selain menjadikan masyarakat kita lebih cergas dan sejahtera,” katanya.
YB Dato’ Jalaluddin turut menegaskan bahawa aktiviti seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan tetapi juga dapat memperkukuh semangat perpaduan komuniti setempat.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya yakin festival berkenaan berpotensi menjadi acara tahunan utama dan tarikan baharu sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.
“Saya berharap program seperti ini terus diperbesarkan agar Jelebu dikenali sebagai hab utama sukan permotoran dan destinasi pelancongan baharu di masa hadapan,” ujarnya.
Dengan sambutan luar biasa dan penyertaan yang meningkat setiap tahun, Jelebu kini semakin hampir untuk dikenali sebagai pusat aktiviti permotoran dan gaya hidup sihat di Negeri Sembilan.