PIALA MAGNOLIA B-12: MEDAN MENCUNGKIL BAKAT BAHARU DI LEMBAH KELANG

0
26

SHAH ALAM, 11 Okt – Sekolah-sekolah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur nyata teruja dan bersemangat menanti detik sepak mula pertandingan sulung kejohanan bola sepak Piala Magnolia Bawah 12 tahun F&N yang akan bermula di Kuala Selangor minggu hadapan.

Sebanyak 16 buah sekolah, kesemuanya pemenang dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah Daerah, akan bersaing untuk merebut anugerah tertinggi kejohanan yang julung kali diadakan itu.

Pertandingan yang akan mencungkil bakat di peringkat akar umbi itu mendapat sokongan penuh F&N serta Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan (KPM).

Sekolah Kebangsaan Seri Pristana Sungai Buloh yang dipilih sebagai pengelola pastinya menyasarkan untuk memberikan aksi yang mantap di tempat sendiri.

Pengurus pasukan, Mohd Zubaidi Mat Akhir berkata Piala Magnolia F&N adalah penting kerana ia merupakan platform baharu untuk pembangunan bola sepak peringkat akar umbi di negeri ini.

“Kejohanan ini berbeza dan unik kerana buat pertama kali dalam sejarah, ia menghimpunkan pasukan yang bergelar juara pada saingan peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Kami berbangga diberi peluang untuk menyertai kejohanan Piala Magnolia F&N ini dan juga menganjurkannya buat kali pertama. Kami teruja dan tidak sabar untuk bersaing,” kata Zubaidi.

Beliau turut menambah, SK Seri Pristana yang diketuai oleh Abid Harraz Asyraf Fitri telah membuat persiapan rapi dengan tiga sesi latihan seminggu sejak pemilihan pemain pada Mac lalu.

Beberapa perlawanan persahabatan turut diadakan bagi mengukur tahap kesiapsiagaan pasukan serta menilai kekuatan dan kelemahan pemain menjelang sepak mula minggu depan.

SK Sri Pristana, yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka kempen menentang SK Bandar Baru Salak Tinggi.

Dua lagi pasukan dalam kumpulan itu ialah SK Taman Tun Teja dan SK Sultan Hishamuddin Alam Shah.

Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun F&N Magnolia akan berlangsung pada 14 hingga 16 Oktober.

Kejohanan tiga hari itu menghimpunkan juara sekolah daripada pertandingan Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan tahun ini.

Pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format pertandingan sembilan sebelah. Juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Tuan rumah Selangor akan diwakili 10 pasukan manakala Kuala Lumpur mempunyai empat pasukan dan Putrajaya mempunyai dua pasukan.

Kesemua pasukan yang bertanding adalah johan Majlis Sukan Daerah masing-masing, kecuali Putrajaya yang akan diwakili oleh johan dan naib johan Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kejohanan ini telah dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos lalu.

 

About The Author