PIALA F&N MAGNOLIA B-12: SK TAMAN MELATI MARA KE SEPARUH AKHIR

0
26

KUALA SELANGOR, 15 Okt – SK Taman Melati mencipta kejutan apabila menewaskan pasukan pilihan SK Putrajaya Presint 15 (1) 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, sekaligus mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Bolasepak Bawah 12 Tahun Piala F&N Magnolia F&N yang berlangsung di padang SK Bandar Baru, Kuala Selangor hari ini.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa sebenar dengan gol minit kelima oleh Muhammad Afiq Daniel Juani untuk SK Putrajaya Presint 15 (1) manakala Ahmad Nurfayruz Ahmad Kamal dari SK Taman Putra mengikat kedudukan sepuluh minit kemudian.

Ketua jurulatih Muhammad Ash Syahid Ismail berkata pasukannya tidak bersiap sedia untuk penentuan sepakan penalti sebaliknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Para pemain telah bekerja keras dan bersedia dengan baik untuk menghadapi kejohanan ini. Untuk perlawanan suku akhir menentang pasukan Putrajaya ini, saya merasakan pemain agak goyah pada awal permainan dan itu menyebabkan mereka banyak melakukan kesilapan,” kata Muhammad Ash Syahid.

“Untuk separuh akhir esok, kami bersedia berdepan dengan apa sahaja situasi. Kami tahu ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar tetapi kami tetap bersedia.”

Untuk aksi separuh akhir esok, SK Taman Melati akan menentang satu lagi pasukan dari Putrajaya iaitu SK Presint 9 (2) – yang menang tipis 1-0 pada suku akhir ke atas SK Sri Pristana.

Muhammad Fathullah Mohammad Nizar menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-12.

KEPUTUSAN

SUKU AKHIR

SK Putrajaya Presint 9 (2) 1-0 SK Seri Pristana

SK Putrajaya Presint 15 (1) 1 (3) – 1(4) SK Taman Melati

SK Serdang UPM 2-0 SK Batu Muda

SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 1-0 SK Semenyih

 

About The Author