HERITAGE RIDE TAIPING 2026 BAKAL TONJOLKAN WARISAN BANDAR TERTUA NEGARA

0
36
RAKAN strategik tampil menaja Heritage Ride Taiping 2026 yang dijadual pada 25 Oktober depan.

PETALING JAYA,30 Julai – Edisi ketiga Heritage Ride Taiping 2026 dijangka menghimpunkan 2,000 peserta apabila acara berbasikal itu kembali berlangsung pada 25 Oktober depan dengan lebih separuh daripada kuota penyertaan telah diisi.

Program anjuran Kelab Berbasikal Elit bersama Gosportz Sdn. Bhd. itu bukan sekadar mempertandingkan perlumbaan berbasikal, malah mengetengahkan keunikan Taiping sebagai bandar warisan yang kaya dengan sejarah dan tarikan pelancongan.

Acara yang bermula seawal pukul 7 pagi di Dataran Warisan Taiping itu menawarkan tiga kategori iaitu perlumbaan 90 kilometer (km), 60km serta Kayuhan Santai sejauh 20km yang sesuai disertai penunggang rekreasi.

Peserta bakal melalui laluan di Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting yang menampilkan gabungan panorama alam semula jadi, kawasan luar bandar serta lokasi bersejarah yang menjadi identiti Taiping.

Timbalan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, penganjuran acara berkenaan menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan sejarah bandar itu kepada masyarakat di samping menggalakkan budaya hidup sihat.

Menurut beliau, Taiping terkenal sebagai ‘Bandar Pelbagai Yang Pertama’ di Malaysia apabila mencipta pelbagai sejarah penting termasuk bandar terancang pertama, taman awam pertama dan landasan kereta api pertama negara.

“Kayuhan Warisan memberi peluang unik kepada peserta untuk menghayati legasi Taiping sambil menggalakkan gaya hidup sihat serta menyokong ekonomi pelancongan tempatan,” katanya selepas menyempurnakan majlis memperkenalkan penaja dan pelancaran Heritage Ride Taiping 2026.

Sebagai nilai tambah kepada peserta, penganjur turut menjalinkan kerjasama dengan Zoo Taiping menerusi pemberian 1,000 tiket masuk percuma kepada peserta berdaftar, namun tawaran itu mendapat sambutan luar biasa apabila habis ditebus sebaik sahaja pendaftaran dibuka.

Dalam masa sama, pelajar berusia antara tujuh hingga 17 tahun terus diberi peluang menyertai acara itu secara percuma hasil sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai usaha memupuk minat generasi muda terhadap aktiviti berbasikal.

Heritage Ride Taiping 2026 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan di Dataran Warisan Taiping seperti trak makanan, persembahan pentas, reruai pameran serta cabutan bertuah bagi memeriahkan suasana kepada peserta dan pengunjung.

Semua peserta yang berjaya menamatkan kayuhan akan menerima kemeja-T rasmi, pingat penamat, beg cenderamata dan sijil digital, manakala lima peserta terbaik bagi kategori perlumbaan 90km dan 60km bakal membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi.

Pendaftaran masih dibuka sehingga 23 Ogos ini atau lebih awal sekiranya kuota penyertaan seramai 2,000 orang sudah dipenuhi.

About The Author