FC3 CLUB KEMBALI KE MALAYSIA, HIDUPKAN SEMANGAT AMAL MENERUSI AKSI MENENTANG SELANGOR FC LEGENDS

0
37
PARA pemain Selangor FC Legends dan selebriti Hong Kong, FC3 Club bersama tetamu kenamaan pada majlis pelancaran perlawanan amal The Bridge of Legends semalam.

PETALING JAYA, 30 Julai – Kelab bola sepak selebriti Hong Kong, FC3 Club bakal kembali menggegarkan Malaysia apabila turun menentang Selangor FC Legends dalam perlawanan amal The Bridge of Legends Hong Kong Celebrities Football Friendly Match di Stadium MBPJ pada 10 Oktober depan.

Perlawanan anjuran Orange Leisure Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pew Pew Resource itu bukan sekadar menghimpunkan barisan artis popular Hong Kong dan legenda bola sepak tempatan, malah membawa misi kebajikan apabila sebahagian hasil kutipan tiket akan disalurkan kepada Make-A-Wish Malaysia bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.

Majlis pelancaran acara berkenaan disaksikan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama wakil Selangor FC Legends, Make-A-Wish Malaysia dan pihak penganjur.

FC3 Club yang lahir ketika penggambaran drama Fearless di Malaysia pada 2024 kini berkembang sebagai sebuah kelab rasmi yang menghimpunkan pelakon dan penyanyi terkenal Hong Kong.

Tengku Zatashah (empat dari kiri) bersama selebriti Hong Kong, FC3 Club.

Wakil FC3 Club berkata, kepulangan mereka ke Malaysia mempunyai makna yang cukup mendalam kerana negara ini menjadi titik permulaan penubuhan pasukan berkenaan.

“Segalanya bermula di Malaysia. Kami kembali ke sini untuk beraksi semula memberikan makna yang cukup istimewa kepada kami,” katanya.

Pasukan itu dijangka dibarisi beberapa nama popular termasuk Locker Lam selaku kapten, Jer Lau (Jer@MIRROR), Carlos Chan, Tony Wu, Adrian Chau, Edward Ma, Elvin Wong, Jonathan Li, Terry Ng, Kaho Hung serta bekas pemain antarabangsa Hong Kong, Kumar So.

Menurut Locker Lam, komitmen sebagai anak seni sedikit menyukarkan mereka menghimpunkan semua pemain untuk menjalani latihan bersama.

“Walaupun sukar mengumpulkan semua orang untuk berlatih, melihat persahabatan yang terjalin dan perkembangan kelab ini, ia menjadikan segala usaha amat berbaloi,” katanya.

Sementara itu, Carlos Chan berharap perlawanan tersebut dapat menyajikan aksi menarik kepada penyokong yang hadir.

“Kami berharap dapat mempersembahkan satu perlawanan yang menarik dan kompetitif kepada semua peminat,” katanya.

Tony Wu pula menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai nilai sentimental kepada FC3 Club, manakala Adrian Chau mengakui teruja untuk kembali bertemu peminat tempatan selain menikmati pengalaman beraksi di negara ini.

Jualan tiket akan dibuka bermula 30 Julai pada pukul 12 tengah hari dengan harga RM368, RM168, RM98 dan RM68 mengikut kategori, tidak termasuk caj tempahan.

About The Author