AMPANG, 15 Ogos — Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 tampil dengan pembaharuan apabila Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) memperkenalkan Anugerah Bola Sepak Melayu bagi mengiktiraf pemain dan pengurusan terbaik kejohanan.
Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, idea memperkenalkan anugerah itu dicetuskan Yang di-Pertua Melaka yang juga penaung persatuan, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, ketika kunjungan hormat dua minggu lalu.
“Pada tahun ini, hasil saranan oleh Tun semasa kunjungan hormat kita dua minggu lepas, beliau mencadangkan agar kita mengadakan Anugerah Bola Sepak Melayu. Ini merupakan kali pertama anugerah seumpamanya diadakan,” katanya pada pelancaran PERR musim 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.

Antara kategori yang sedang dipertimbangkan ialah Penyerang Terbaik, Penjaga Gol Terbaik dan Pengurusan Terbaik, selain beberapa kategori lain yang masih dalam perbincangan.
Menurut Mohd Firdaus, langkah itu sebahagian daripada usaha PBMM memberikan nafas baharu kepada PERR agar terus relevan dengan perkembangan bola sepak moden.
“Walaupun berstatus amatur, kita tidak boleh terus berada di takuk lama. Disebabkan peredaran zaman, kita terpaksa ikut arus perubahan dan persatuan bola sepak negeri-negeri juga perlu ikut serta,” katanya.
PERR edisi kali ini turut membuka penyertaan kepada kelab dan pasukan jemputan, khususnya berikutan sebahagian pasukan negeri kini melalui proses penswastaan.
“Kita menggalakkan penyertaan kelab, tetapi kita akan pastikan kelab yang dipilih itu betul-betul terlibat aktif dalam bola sepak, berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan dan berpengalaman. Kita ada syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.
Sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan, termasuk Flex F1 Suria FC, UM Damansara FC dan Bomba FC. Piala Agong antara Selangor dan Kuala Lumpur pada 13 September pula akan menjadi pembuka tirai sebelum PERR bermula seminggu kemudian.
Sabak Bernam dipilih sebagai venue Piala Agong dalam usaha membawa saingan lebih dekat kepada penyokong. PBMM menjangkakan kehadiran antara 5,000 hingga 7,000 penonton berbanding sekitar 100 hingga 200 jika perlawanan diadakan di Kuala Lumpur.
“Kita mahu menarik lebih ramai penyokong. Kita mahu memeriahkan Piala Agong ini seolah-olah perlawanan akhir. Berdasarkan pengalaman, sambutan akan menjadi lebih baik apabila kita membawa perlawanan ke luar daerah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, PBMM mengekalkan dasar terbuka terhadap penyertaan pemain bukan Melayu, namun menetapkan maksimum tiga pemain bukan Melayu boleh berada di atas padang pada satu-satu masa.
“Kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah persatuan yang rasis. Tidak kisah berapa ramai pemain berbangsa India atau Cina yang mereka senaraikan dalam pasukan, tetapi yang dibenarkan bermain serentak hanyalah tiga orang,” katanya.
Mohd Firdaus turut melihat kerjasama strategik bersama Mysports Media Group Sdn. Bhd. sebagai langkah penting memperkukuh PERR, terutama dalam aspek penajaan dan membantu pasukan negeri yang berdepan kekangan kewangan.
“Bila dapat banyak penajaan, kita juga boleh membantu pasukan negeri. Kita tahu semua negeri ada kekangan kewangan untuk menyertai PERR. Jadi sudah tiba masanya, dengan adanya rakan strategik dan kolaborasi ini, kita dapat membantu pasukan-pasukan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan pembaharuan itu mencerminkan hasrat PBMM menjadikan PERR sebuah kejohanan yang lebih kompetitif, inklusif dan dekat dengan penyokong, di samping memastikan tradisi bola sepak Melayu terus berkembang mengikut tuntutan semasa.












