PELBAGAI SPESIS IKAN BAKAL JADI BURUAN PESERTA PADA PERTANDINGAN RAJA TASIK SELANGOR 2026

0
212

AMPANG JAYA, 7 Sept – Pelbagai spesisi ikan bakal menjadi buruan para peserta pada pertandingan memancing Raja Tasik Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung di Tasik Pandan Perdana, Ampang Jaya Ahad ini.

Lokasi tersebut yang lebih setahun tidak digunakan untuk pertandingan memancing berskala besar, bakal menyaksikan para peserta menaikkan tangkapan bersaiz mega pada acara yang menyasarkan penyertaan kira-kira 500 kaki pancing.

Pertandingan yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu akan bermula pada jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan ia turut membawa mesej pemeliharaan alam sekitar melalui usaha mengeluarkan spesies ikan asing yang boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem tasik.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, pertandingan ini antara usaha MPAJ menghidupkan kawasan rekreasi, sekali gus mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti selain memperkenalkan Tasik Pandan Perdana sebagai tarikan rekreasi dan pelancongan domestik.

Menurutnya, aktiviti memancing bukan sekadar rekreasi dan pertandingan, malah boleh menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga habitat serta kelestarian sumber perairan.

Tahun ini merupakan tahun kedua MPAJ menjalinkan kerjasama dengan Airfour Classic bersama Jawatankuasa Penduduk Zon 21 serta disokong Tourism Malaysia dalam menjayakan program berkonsepkan pertandingan memancing dan pelancongan.

Penganjuran itu turut membawa semangat sambutan ulang tahun ke-34 penubuhan MPAJ yang disambut pada 1 Julai lalu.

Yuran penyertaan ditetapkan RM40 bagi satu joran dengan dua mata kail. Pendaftaran dibuka pada 12 September dari jam 3 petang hingga 7 malam, manakala pada hari pertandingan bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Sebanyak 500 helai T-shirt turut disediakan untuk peserta yang membuat pendaftaran awal.

 

Juara bakal membawa pulang RM4,000, tempat kedua RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Peserta di kedudukan keempat hingga ke-80 pula menerima RM70, selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyertai pertandingan boleh menghubungi penganjur di talian 013-2667011, 012-3554946 atau 012-2846811.

About The Author