AMD B-14, SMK SHAH ALAM MARA KE SEPARUH AKHIR, DUA AKSI SUKU AKHIR DITUNDA AKIBAT JEREBU

0
24

GAMBANG, 16 Sept – Pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-14 mara ke peringkat separuh akhir Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 Tahun 2026 bersama rakan strategik 100PLUS selepas menewaskan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman 3-0 dalam aksi suku akhir di Padang Arena AMD, Gambang, Pahang pada 12 September lalu.

AMD B-14 tampil cemerlang apabila Ahmad Ayyash Hafimie Herman membuka tirai jaringan pada minit ke-21 sebelum Muhammad Mifzal Shah Zulshahriman menggandakan kelebihan pada minit ke-26, sebelum Luthfil Hadi Abd Halim melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi jaringannya pada minit ke-46.

Pengendali AMD B-14, Rusdi Suparman mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan atas persembahan yang ditampilkan, selain berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya yang berjaya melaksanakan perancangan pasukan dengan baik.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana memberikan satu perlawanan yang cukup baik. Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan saya kerana memberikan satu keputusan yang baik. Setiap perlawanan ini cukup penting, lebih-lebih lagi kita bermain di peringkat kalah mati dan setiap peluang yang ada perlu kita ambil dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Rusdi turut melahirkan kepuasan apabila apa yang diterapkan dalam latihan berjaya diterjemahkan dengan baik oleh barisan pemainnya pada perlawanan tersebut, terutama dari aspek permainan individu dan teknikal.

Dalam perlawanan lain, SMK Shah Alam turut menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan SMK Putera 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 70 minit permainan tersebut.

Dua lagi perlawanan suku akhir terpaksa ditunda susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.

Penundaan itu dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan para pemain serta pegawai pasukan, selain mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI), Kementerian Pendidikan (KPM) yang sedang berkuat kuasa.

Dua perlawanan yang ditunda membabitkan SMK Taman Desa Skudai menentang SMK Taman Desa Skudai B-14 B yang dijadualkan berlangsung pada 16 September di Stadium Kulai serta SMK Seri Titiwangsa bertemu SMK Seri Kota pada 17 September di Padang 2, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.

Kedua-dua perlawanan berkenaan akan dijadualkan semula pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

About The Author