Hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM20,000 menanti peserta Cabaran Joran Kuala Lumpur pada 19 Februari 2023 (ahad) ini.
Pertandingan yang diadakan di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur itu dijangka disertai 500 – 700 peserta.
Bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Untuk Semua’ yang membawa maksud kepada aspirasi JWP untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang mencerminkan nilai perpaduan, kesefahaman dan kekitaan seluruh komuniti di Wilayah Persekutuan itu sememangnya dinantikan kaki pancing khususnya di ibu negara.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Bin Ahmad berkata Taman Tasik Ampang Hilir dipilih sebagai lokasi kerana keunikan tersendiri, selain dihuni pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan dan toman yang seberat 10 hingga 28kg.
“Tasik ini menjadi sebutan kaki pancing apabila dalam pertandingan sebelum ini spesis patin seberat 28.00 kilogram pernah dinaikkan oleh peserta pertandingan selain spesis lain antaranya tilapia, patin, belida, toman, keli, ketutu serta ikan bandar raya dengan berat antara 100 gram hingga 10 kilogram.
“Selepas empat tahun tiada pertandingan di sini ia kembali lagi dan tidak akan menghampakan pemancing di tasik ini daripada warga kota,” katanya ketika melepaskan lebih 500 kilogram ikan pelbagai spesies di tasik itu antaranya patin dengan berat antara dua kilogram hingga tiga kilogram hari ini.
Selain memancing, peserta juga berpeluang beriadah serta menikmati keindahan kawasan tasik bersama keluarga.
“Matlamat kita dalam menggalakkan pelancongan domestik tercapai apabila melibatkan kehadiran pelancong dari luar ke Kuala Lumpur amnya.
Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM5,000, naib juara (RM2,000), ketiga (RM1,000), ke 4 hingga ke-10 (RM200), Ke 11 hingga 20 (RM150) dan tempat ke-21 hingga 100 (RM100 setiap seorang).
“Hadiah khas untuk pemenang Ikan keli turut disediakan sehingga ditempat ke ke lima serta hadiah cabutan bertuah antaranya dua unit TV 32 inci serta barangan peralatan memancing menanti peserta”.
Menurutnya, Tasik Ampang Hilir mempunyai keunikan tersendiri kerana pelbagai spesies ikan termasuk patin, tongsan, rhu, keli, tilapia dan toman dengan berat antara lapan hingga 18.00 kilogram menanti kaki pancing.
Ianya dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Yuran RM50 dikenakan untuk sebatang joran dan 500 penyertaan awal akan menerima T-Shirt sumbangan penaja.
Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu mulai jam 3 petang hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Selain itu, ia juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi yang boleh dimanfaatkan warga Kuala Lumpur dengan aktiviti sihat.
Khairul Azmir berharap melalui program ini dapat kita tingkatkan promosi pelancongan domestik sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi negara.
“Selain itu pihak DBKL dapat mewujudkan produk pelancongan Kuala Lumpur melalui Cabaran Joran Kuala Lumpur selain riadah sihat dan aktiviti keluarga berkunjung ke tasik Ampang Hilir selain merancakkan ekonomi setempat,”
“Begitujuga melalui program ini dapat menarik pelancong dalam dan luar Kuala Lumpur sebagai riadah sihat bersama keluarga,” katanya lagi.
Pertanyaan lanjut berkaitan pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-2661077, 013-3052811 atau 012-2846811 atau melayari laman sosial facebook.com/jorankl.