EKO-PELANCONGAN DI SUNGAI SEKAWANG PERLU DINAIK TARAF

0
88

PORT DICKSON, 23 Dis – Kampung Sungai Sekawang bakal mencatat sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai lokasi penutup bagi pertandingan memancing Port Dickson Surfcasting Challenge 2025 yang akan berlangsung pada 28 Disember nanti.

Kebiasaannya lokasi ini hanya menjadi medan aktiviti kecil penduduk kampung, namun kali ini suasana berbeza apabila ia bakal menjadi destinasi buat para peserta yang akan memeriahkan pertandingan memancing terbesar pernah dianjurkan di perkampungan nelayan itu.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Muhammad Hazezie Jamail, para penduduk kampung berkenaan kini giat membuat persiapan termasuk kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan kawasan pantai serta lokasi memancing demi keselesaan para pengunjung nanti.

“Kita bukan sekadar menjadi tuan rumah, malah lebih 15 peniaga tempatan akan membuka gerai, sekaligus menjadikan acara ini sebagai peluang meningkatkan ekonomi penduduk kampung,” katanya.

Dalam masa sama, kawasan pengkalan nelayan tradisional yang terdapat di kampung itu turut menjadi tumpuan, bukan sahaja sebagai lokasi pendaratan hasil laut, malah berpotensi besar untuk dimajukan sebagai pusat aktiviti memancing dan eko-pelancongan.

Tambahnya, Sungai Sekawang mempunyai tarikan tersendiri yang perlu digilap, sekali gus dibangunkan sebagai salah satu destinasi pelancongan luar bandar di Port Dickson.

Pihak penganjur turut menggalakkan para pengunjung untuk menginap di beberapa homestay yang diusahakan oleh penduduk kampung sepanjang pertandingan itu nanti.

Pertandingan kali ini mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Dato’ Mohd Faizal Ramli, Nadi Media serta Tourism Malaysia.

 

About The Author