MELAKA, 20 Feb – Hadiah utama berjumlah RM25,000 menjadi milik Mohamad Aizat Dolmi dari Melaka apabila muncul juara pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Shimano Surfcasting di pantai Tambak Klebang baru-baru ini.
Ia ekoran kejayaannya menaikkan ikan pari seberat 3.8 kilogram (kg) pada pertandingan yang disertai lebih 1,000 peserta itu.
Beliau menewaskan peserta dari Pahang, Ahmad Fakhrur Razi Afandi yang menaikkan ikan pari seberat 2.210kg dan Muhammad Farid Ariffin dengan tangkapan spesis ikan yang sama seberat 2.195kg.
Ahmad Fakrur Razi yang menamatkan pertandingan tersebut di tempat kedua berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM7,000 manakala Muhammad Farid menerima RM3,000.
“Berbekalkan umpan udang hidup, sasaran saya pada pertandingan ini adalah untuk menewaskan spesis ikan pari. Alhamduillah saya bejaya menjinakkannya. Malah saya sangat bertuah apabila berat ikan yang saya dapat hanya mempunyai perbezaan 1.5kg daripada ikan yang ditangkap oleh dua lagi peserta lain.
“Ini kemenangan terbesar pernah saya raih sejak aktif menyertai pertandingan memancing beberapa tahun lalu,’’ kata Mohamad Aizat.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Pengarah Pemasaran Shimano Asia yang berpangkalan di Singapura, Kelvin Yiu serta Pengurus Besar Joran Unggul Event Management, Amir Ali Mohamad.
Pertandingan anjuran bersama Shimano dan Joran Unggul itu merupakan edisi keenam dan telah sokongan Tourism Malaysia.
Hadiah wang tunai keseluruhan yang ditawarkan berjumlah RM100,000 manakala Shimano menawarkan pelbagai barangan peralatan memancing bernilai RM82,150.
Terdahulu, majlis perasmian pertandingan disempurnakan Osuka (gambar bawah) dari Jepun bersama Amir Ali pada pukul 8.30 pagi di pantai Tambak Klebang.
Pertandingan memancing Shimano Surfcasting merupakan acara tahunan Shimano South East Asia yang berpangkalan di Singapura bagi mempromosikan produk baharu peralatan memancing yang dikeluarkan syarikat berkenaan.
Tahun hadapan, Shimano akan sekali lagi menganjurkan acara ini yang mana lokasi pilihan adalah di Pahang.