HARUAN 0.925 GRAM BAWA TUAH BUAT MOHD ARIF

0
77

AMPANG JAYA, 14 Sept – Ikan haruan seberat 0.925 gram membawa tuah kepada Mohd. Arif Ahlfas apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan Memancing Raja Tasik Selangor 2026 yang berlangsung di Tasik Pandan Perdana, di sini semalam.

Mohd. Arif, 41, dari Ampang yang bekerja di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya menaikkan ikan tersebut pada pukul 9.27 pagi menggunakan umpan cacing sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.

Beliau melahirkan rasa gembira dengan kemenangan itu dan berhasrat berkongsi wang hadiah bersama keluarganya.

Tempat kedua dimenangi Mohd. Fahriszal Mohd. Aris, 46, dari Segambut, Kuala Lumpur selepas menaikkan haruan seberat 0.820 bagi membolehkan beliau menerima RM1,000.

Abdul Latif, 46, dari Cheras pula menduduki tempat ketiga selepas menaikkan ikan keli seberat 0.785 gram untuk membawa pulang RM500.

Pertandingan tersebut disertai hampir 500 peserta dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Perak.

Walaupun ikan patin yang dinantikan tidak berjaya dinaikkan, ia tidak menghalang peserta untuk terus mencuba nasib sehingga pertandingan berakhir.

Hampir 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang pertandingan antaranya haruan, keli, baung, raja dan talapia.

Pertandingan tersebut dianjurkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Airfour Classic dengan kerjasama Jawatankuasa Zon 21 MPAJ serta mendapat sokongan Tourism Malaysia.

Selain menyediakan aktiviti rekreasi kepada masyarakat, pertandingan itu turut menjadi antara usaha mengeluarkan ikan larangan bagi memelihara ekosistem tasik dan memastikan spesies ikan tempatan terus kekal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur berkata, penganjuran program itu berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana sihat, santai dan muhibah.

Menurutnya, aktiviti seumpama itu juga dapat mengangkat Tasik Pandan Perdana sebagai lokasi rekreasi, sosial dan pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Ampang Jaya.

Tambah beliau, usaha itu selari dengan Program Smart Selangor Mampan (SSM) 2035 di bawah MPAJ yang menyasarkan Ampang Jaya sebagai bandar lebih hijau, rendah karbon, selamat dan berdaya huni menerusi kesejahteraan komuniti, pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan bandar seimbang menjelang 2035.

About The Author