AMPANG, 11 Sept – Siapa agaknya yang bakal bergelar juara pada pertandingan Memancing Raja Joran Selangor 2026 yang akan berlangsung di Tasik Pandan Perdana, Ampang Jaya Ahad ini.
Lebih RM10,000 hadiah tunai disediakan kepada para pemenang dengan juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Sebagai persiapan menjelang pertandingan itu, hampir 100 kilogram ikan tempatan terdiri daripada daripada pelbagai spesis dilepaskan ke dalam tasik tersebut petang tadi sebagai tambahan kepada stok ikan sedia ada.
Peserta bukan sahaja memburu hasil tangkapan terbaik untuk bergelar juara, malah digalakkan menaikkan sebanyak mungkin spesies ikan lain bagi membantu mengawal pertumbuhan populasinya.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata, langkah itu penting bagi membolehkan ikan baung dan lampam sungai yang dilepaskan untuk terus hidup, membesar dan membiak lebih seimbang.
Pelepasan ikan berkenaan disempurnakan Hasrolnizam bersama Ahli Majlis MPAJ, Stella Leong.
“Pada masa sama, kita mahu kawasan tasik ini terus menjadi lokasi riadah yang bersih, selamat dan sesuai dikunjungi, selain berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan tempatan di Selangor,” katanya.
Menurut Hasrolnizam, penganjuran Raja Joran Selangor bukan sekadar pertandingan memancing, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan kawasan rekreasi di Ampang Jaya dalam usaha menyokong program Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pada pertandingan itu nanti, 10 peniaga tempatan turut membuka gerai sepanjang program berlangsung, sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan memperoleh limpahan ekonomi daripada kehadiran peserta, keluarga dan pengunjung.
Daripada keseluruhan hadiah tunai melebihi RM10,000 itu, juara bakal menerima RM4,000, naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM500, manakala peserta di kedudukan keempat hingga ke-80 masing-masing menerima RM70 selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.
Yuran penyertaan RM40 bagi satu joran dengan dua mata kail, manakala 500 helai baju-T disediakan untuk pendaftaran awal.
Pendaftaran akan mula dibuka esok bermula pukul 3 petang hingga 7 malam dan pada hari pertandingan bermula pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.
Dalam pada itu, Hasrolnizam mengingatkan peserta dan pengunjung supaya menjaga kebersihan kawasan tasik sebelum meninggalkan lokasi pertandingan.












