LAUT PENGKALAN SUNGAI SEKAWANG LOKASI PD SURFCASTING CHALLENGE 2025

0
339
Mohd Faizal Ramli

PORT DICKSON, 22 Dec – Laut Pengkalan Sungai Sekawang, bakal menjadi tumpuan pemancing dan pelancong apabila pertandingan memancing Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 akan berlangsung pada 28 Disember ini.

Pertandingan tersebut akan bermula pada jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang dan ia turut menjadi medan promosi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (Visit Negeri Sembilan 2026).

Lokasi strategik di Batu 15 Port Dickson itu dengan suasana tenang mempunyai pelbagai spesies ikan seperti Siakap, Senangin, Pari, Gelama, Kerapu, Sembilang dan Duri.

Dasarnya yang berpasir, berlumpur serta struktur berbatu menjadikan kawasan ini sebagai salah satu lubuk utama pemancing pantai di negeri ini dan telah mula menarik kehadiran pemancing dari seluruh negara.

Menurut Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli, pertandingan ini merupakan antara inisiatif terbaik dalam memperkenalkan destinasi tersembunyi kepada umum sebagai sebahagian daripada pelan promosi pelancongan negeri.

“Penganjuran pertandingan di lokasi seperti Sungai Sekawang ini amat bertepatan dalam konteks Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Ia membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat dan memperkenalkan kawasan luar bandar sebagai produk pelancongan berasaskan alam,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri giat mengenal pasti lokasi-lokasi ‘permata tersembunyi’ seperti Batu 15 untuk diketengahkan melalui kempen Visit NS 2026 yang memberi penekanan kepada ekopelancongan, warisan dan rekreasi keluarga.

“Pantai yang tenang, komuniti mesra, serta kekayaan hasil laut menjadikan tempat ini sesuai bukan sahaja untuk memancing, tetapi juga perkhemahan, fotografi dan pelancongan berkonsepkan alam semula jadi,” jelasnya.

Pertandingan ini dianjurkan bersama oleh ADUN Linggi dan Nadi Media Events dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Sekawang dan disokong oleh Tourism Malaysia.

Sejumlah RM25,000 wang tunai ditawarkan kepada para pemenang yang mana juara bakal membawa pulang RM10,000, tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM1,000.

Tempat ke-4 hingga ke-10 akan menerima hadiah tunai RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 RM150, dan tempat ke-21 hingga ke-100 akan menerima RM110 setiap seorang.

Yuran penyertaan adalah RM80 dan para peserta dibenarkan menggunakan 1 joran dan 2 mata kail. Pendaftaran akan dibuka sabtu ini jam 3.00 petang hingga 7.00 malam dan di lokasi pertandingan (Ahad) pada jam 8.30.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi urusetia menerusi talian 013-2667011, 012-3554946 atau 012-2846811.

About The Author