PARTI SARAWAK BERSATU PENCABAR TERKUAT DI PRN SARAWAK

0
1207

Oleh ASAN AHMAD 

ANDAI rakyat Sarawak mahukan perubahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 18 Disember nanti, pilihan tepat untuk menerajui tampuk kepimpinan kerajaan negeri adalah Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Kenapa? – Pertamanya, PSB yang ditubuhkan pada tahun 2014 dan diterajui oleh Dato Seri Wong Soon Koh adalah sebuah parti politik yang berdiri atas kaki sendiri tanpa perlu bergabung dengan mana-mana parti politik yang lain untuk membentuk sebuah pakatan.

Dato Seri Wong Soon Koh

Keduanya, mereka berjuang atas nama Parti Sarawak Bersatu dan bukannya sebuah parti pakatan atau gagasan. Ini mungkin antara kekuatan serta kelebihan yang ada pada PSB.

Selain itu, ia diwakili seorang ketua yang berpengaruh. Calon-calonnya juga terdiri daripada tokoh-tokoh muda, baharu, berwibawa dan berpandangan jauh –  merangkumi golongan jurutera, peguam, pakar-pakar ekonomi serta ahli akademik.

Justeru, jika benar-benar mahukan perubahan – maka dampingilah PSB dan segala rungutan yang disuarakan oleh rakyat Sarawak selama ini terhadap kepimpinan sekarang, maka terjemahkanlah rungutan itu pada hari pengundian nanti bagi memastikan perubahan dapat direalisasikan pada PRN kali ini.

Jangan hanya berani bersuara di media-media sosial, sebaliknya buktikan suara-suara kekecewaan itu pada 18 Disember nanti.

Saya bukanlah penyokong PSB atau mana-mana parti politik yang lainnya. Saya sekadar berkongsi pandangan pribadi – daripada apa yang saya lihat dan dengar dengan mata telinga sendiri berhubung perkembangan serta senario politik tanah air.

Sejujurnya, penyudah PRN di Sarawak memang mudah untuk diramalkan.

Sejak beberapa dekad lalu, parti-parti politik yang memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri sememangnya sangat kebal.

Terus terang saya katakan, memang sukar untuk menumbangkan kekuatan parti pemerintah ini dalam setiap PRN kerana trend pengundi khususnya di kawasan pedalaman akan tetap memilih wakil parti yang membentuk kerajaan.

Budaya menghormati kepada calon daripada parti pemerintah masih menjadi pegangan meskipun mereka tidak menjalankan tugas seperti yang diharapkan.

Trend seperti ini hanya akan berubah jika jumlah daftar pengundi baharu/golongan muda sudah boleh mengatasi jumlah pengundi golongan warga emas – kumpulan yang amat payah untuk menerima perubahan.

Pengundi juga amat mudah dipengaruhi dengan janji-janji pembangunan di kawasan masing-masing walaupun hanya sebahagian kecil sahaja janji berkenaan ditunaikan.

Bagi rakyat Sarawak, pada PRN kali ini, mereka hanya ada dua parti politik yang menjadi pilihan untuk membentuk kerajaan baharu pada 18 Disember nanti.

Salah satunya, sudah pasti PSB dan yang keduanya parti komponen Gagasan Parti Sarawak (GPS).

Calon-calon parti politik Sarawak yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) tidak akan mendapat tempat di negeri Bumi Kenyalang itu.

Rakyat Sarawak sebenarnya menolak seratus peratus parti-parti politik tempatan yang membentuk kerjasama dengan parti politik dari ‘Malaya’ (Semenanjung Malaysia). Ini memang sudah sangat jelas dalam beberapa PRN yang lepas kecuali di kawasan-kawasan bandar.

GPS pun sebenarnya ada kaitan dengan kerajaan PN sekarang kerana mereka menjadi sebahagian daripada anggota PN untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Kehadiran parti baharu, Parti Bumi Kenyalang mungkin tidak lebih sebagai pengacau, tetapi besar kemungkinan boleh mencipta kejutan terutamanya di kawasan bandar.

Jika betul-betul rakyat Sarawak mahukan perubahan, mereka hanya ada dua pilihan iaitu PSB dan GPS.

Apakah GPS mampu mengekalkan kemenangan pada PRN kali ini kerana sebelum ini mereka bertanding di bawah lambang parti komponen Barisan Nasional (BN).

PSB pula sebuah parti yang bergerak atas kaki sendiri, lambang sendiri dan hanya mempunyai seorang nakhoda untuk mengemudi perahunya ke destinasi yang betul.

Parti yang membentuk gabungan pula mempunyai terlalu ramai ‘kepala kantor’ dan sudah pasti boleh menjejaskan kesepakatan mereka dalam membuat keputusan.

Malah, sejak kebelakangan ini, pelbagai rungutuan diutarakan oleh rakyat yang merasakan ada yang tidak kena dengan gaya atau cara kepimpinan sekarang.

Jika melihat kekuatan yang ada pada PSB, saya boleh katakan bahawa ‘strength’ mereka agak seimbang.

Mereka mempunyai calon-calon yang berwibawa untuk bertanding di semua kawasan DUN baik di kawasan bandar mahupun pedalaman.

Cuma satu yang mungkin menjadi halangan iaitu bagaimana penerimaan rakyat (khususnya golongan pengundi warga emas) terhadap kehadiran mereka sebagai sebuah parti baharu di PRN kali ini dan juga isu-isu yang bakal mereka tekankan sepanjang tempoh berkempen nanti.

Isu-isu ‘panas’ dan kukuh harus menjadi senjata mereka untuk meyakinkan rakyat terhadap kehadiran mereka dalam gelanggang politik Sarawak.

Kalau ada yang bertanyakan kepada saya parti mana yang layak untuk mengambil alih…sudah pasti PSB pilihan saya kerana mereka mempunyai kredibiliti dan kelebihan tersendiri. Begitupun, pangkah di kertas undi tetap rahsia.

Sejujurnya, kekuatan PSB pada PRN kali ini mungkin hadir daripada sokongan generasi baharu atau pengundi muda.

Inilah kumpulan yang bersedia untuk membuat perubahan kerana mereka sangat berharap suara-suara mereka didengar dan bukannya diabaikan.

Malah, pernah ada rungutan di beberapa kawasan DUN sebelum ini berhubung isu tanah serta penyalahgunaan kuasa.

Yang mengadu diberi amaran malah orang-orang kanan wakil rakyat berkenaan mengugut untuk membuat laporan kepada pihak polis jika pengadu berkenaan mengulanginya.

Apakah perlu dibuat laporan polis jika si pengadu itu tidak melakukan kesalahan jenayah?

Itu antara drama-drama yang tak logik dan harus diperbetulkan jika seseorang itu dipilih menjadi pemimpin.….DAN orang-orang kanan yang dilantik juga tidak boleh bertindak mengikut emosi kerana ia akan mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Ketika tarikh penamaan calon semakin hampir iaitu pada 6 Disember ini, ‘amalan biasa’ oleh calon-calon parti pemerintah sudah mula bergerak aktif ketika ini.

Seribu satu macam janji mula ditaburkan. Majlis ‘pecah tanah’ berlaku di mana-mana dan jangan hairan, lebih banyak janji yang akan ditaburkan sepanjang tempoh berkempen nanti dan janji-janji itu jangan terlalu diberi harapan – cukuplah disambut dengan sebuah senyuman sahaja kerana ia akan diulangi lagi pada PRN seterusnya.

Apa pun, kita berharap agar PRN kali ini berjalan lancar dan semua pihak yang terlibat harus mengutamakan protokol kesihatan kerana negara kita belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Pastikan sentiasa memakai pelitup muka khususnya bakal-bakal calon, petugas, pengundi dan semuanya serta sentiasa menjaga jarak.

Nak berubah hanya ada dua yang menjadi pilihan sama ada GPS atau PSB – yang pasti PSB kerana ia parti pilihan generasi muda. ‘Kalau bukan sekarang, bila lagi?’. 

 

 

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here