PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) 2021

0
1226

TEKS PERUTUSAN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
11 Januari 2021

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum warahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sihat walafiat.
Saudara dan saudari sekalian,

1. Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada 24 Oktober 2020 (iaitu sejumlah 1,228 kes). Bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

2. Di dalam gelombang ketiga ini yang bermula pada 20 September 2020, sejumlah 476 kluster baharu dilaporkan sehingga 10 Januari 2021 melibatkan 259 kluster (54.41%) tempat kerja. Data ini menunjukkan peningkatan ketara bilangan kluster baharu di dalam
gelombang ketiga berbanding 110 kluster baharu yang direkodkan semasa gelombang kedua dengan 25 kluster (22.72%) melibatkan tempat kerja.

3. Secara keseluruhannya, sebanyak 586 kluster telah direkodkan sehingga 10 Januari 2021 dengan 48.46% daripadanya merupakan kluster yang melibatkan tempat kerja. Daripada jumlah ini juga, sebanyak 254 kluster masih lagi aktif manakala 332 kluster telah
pun diisytiharkan tamat.

4. Sepanjang tempoh gelombang ketiga penularan jangkitan COVID19 di Malaysia, trend kes import didapati adalah terkawal tetapi kes-kes penularan tempatan terus meningkat melibatkan golongan bukan warganegara dan warganegara.

5. Pada permulaan gelombang ketiga pada 20 September 2020, keskes lebih tertumpu kepada kumpulan bukan warganegara, iaitu sebanyak 63% dan hanya 37% melibatkan warganegara. Namun perkembangan semasa menunjukkan jangkitan dalam kalangan
warganegara semakin meningkat. Sehingga 11 Januari 2021, sebanyak 70% kes positif COVID-19 di Malaysia adalah melibatkan warganegara dan hanya 30% bagi bukan warganegara.

6. Berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

7. Semakin tinggi nilai R-naught, semakin sukar untuk mengawal penularan kerana semakin ramai yang telah dijangkiti. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac telah berjaya  menurunkan nilai R kepada 0.335, sekaligus mengurangkan kes
jangkitan COVID-19 kepada angka satu (1) hingga dua (2) digit sehari.

8. Trend ini nyata amat membimbangkan dan Kerajaan sedar bahawa pendekatan yang lebih tegas mesti diambil bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 ini, sekaligus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh
diuruskan dengan lebih berkesan.

9. Kerajaan mendengar keluhan dan cadangan daripada rakyat seluruhnya yang amat bimbang dengan perkembangan peningkatan kes kebelakangan ini. Kerajaan juga sangat
memahami beban tugas yang dihadapi oleh petugas-petugas kesihatan kita berikutan peningkatan kes yang mendadak. Frontiners kita semakin penat dan kesihatan awam negara semakin tenat.

Saudari saudari yang saya kasihi,

10. Pada ketika ini, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari. Our healthcare system is at breaking point. Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang:
I. Lima belas (15) buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

II. Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus. Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima (5) buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus.

III. Buat masa ini, terdapat lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

IV. Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus. Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua (2) hingga 59 kes kematian
sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

V. Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

VI. Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.

Saudara dan saudari sekalian,
11. Dalam menangani pandemik COVID-19 ini, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

12. Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

13. Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat.

14. The situation today is indeed very alarming. Our healthcare system is under tremendous pressure now than at any other time since the start of the pandemic. As I have said before, unprecedented situations call for unprecedented measures.

15. Justeru berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai Kementerian dan Agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19.

16. Untuk itu, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021. Perintah ini melibatkan tiga peringkat
pelaksanaan seperti berikut:

a. Pertama, PKP ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

b. Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam (6) buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

c. Ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

17. Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Saudara dan saudari sekalian,

18. Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah TIDAK DIBENARKAN sama sekali. Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat. Pergerakan rentas negeri adalah TIDAK DIBENARKAN di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga TIDAK DIBENARKAN.

19. Susulan larangan pergerakan merentas negeri dan daerah ini, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021. Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, HANYA DUA (2) anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

20. Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5) sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan
pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

21. Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

22. Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing. Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung
sewaktu berada di tempat kerja. Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

23. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai essential economic sector. MITI dan Kementerian Kerja Raya juga akan memperincikan butiran kerja-kerja pembinaan yang
dibenarkan beroperasi.

24. Bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai essential services, arahan bekerja dari rumah atau work from home akan berkuatkuasa. Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi. Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 di tempat kerja.

25. Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi HANYA untuk perkhidmatan take away manakala bagi kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan. Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.

26. Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempattempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home.

27. Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi. Pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayursayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari.

Saudara dan saudari sekalian,

28. Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan
SPM bagi sesi 2020 dan 2021. Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini.

29. Bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum 5 orang. Bagi negeri yang dikenakan PKP-P dan PKP-B, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan
bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan di dalam SOP. Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan.

30. Saya juga sedar bahawa pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental. Justeru bagi memastikan kesihatan minda dan fizikal yang berterusan, anda dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja. Pastikan jarak anda dari orang lain adalah dua (2) meter setiap masa. Kalau hendak berjoging, jangan lebih daripada dua (2) orang dan kalau berbasikal, janganlah
secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja.

Saudara dan saudari yang sangat saya sayangi,
31. Tempoh dua minggu yang akan datang ini amatlah penting untuk bukan sahaja diri kita tetapi juga seluruh Negara. Semua kebebasan yang kita korbankan ini – terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah, dan kesukaran untuk
melakukan aktiviti sosial di luar – akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua.

32. Virus ini telah pun berada di dalam komuniti dan hidup bersama kita. Janganlah kita merasa terlalu selesa dan akhirnya mengabaikan langkah-langkah pencegahan yang begitu mudah untuk kita amalkan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

33. Saya ingin mengajak pemimpin-pemimpin masyarakat atau community leaders untuk menjaga dan melindungi komuniti masingmasing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19. Anda semua adalah frontliners di dalam komuniti anda dalam
perjuangan melawan virus ini. Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klnik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka juga tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah jangkitan COVID-19
ini.

34. Sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti, satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bersama Menteri Tugas-Tugas Khas telah dibentuk untuk memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti dengan lebih berkesan.

35. Anggaplah bahawa virus tersebut berada di dalam diri kita agar kita sentiasa berwaspada dan tidak leka dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita bergelak ketawa di luar bersama rakan dan  keluarga, tetapi kita sering lupa segala SOP dan petugas-petugas
kesihatan kita yang bertungkus-lumus, mengorbankan masa bersama keluarga dan mengeluh bersendirian untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 ini.

Saudara saudari sekalian,

36. Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Januari 2021 di sembilan (9) buah Hospital
KKM di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal (Clinical Research Centre – CRC) masing masing.

37. Kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia ini dijangka akan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon vaksin inactivated COVID-19 vaccine buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini. Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL) dari NPRA telah diperolehi pada 8 Januari 2021.

38. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer. Justeru, Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini insya’Allah. Sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin  COVID-19 kepada rakyat Negara ini berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

39. Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60-70 peratus atau 20-23 juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19. Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi
perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi. Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah
melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

40. Kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia. Proses penilaian ini dibuat oleh
Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

41. Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat termasuk diri saya sendiri untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. Ya betul, kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.

42. Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan hand sanitizer sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

43. Bersama, kita berpeluang untuk membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk. Saya sangat berharap agar segala nasihat dan peringatan yang saya sampaikan hari ini akan dipatuhi sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat.

44. Saya beri jaminan bahawa Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat. Dan saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang. Insya-Allah.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

About The Author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here