PATIN 8.6KG HADIAHKAN KEMENANGAN KEPADA PEMANCING DARI KAJANG

0
317

SERDANG, 30 Jun – Ikan patin seberat 8.600 kilogram membawa tuah kepada seorang pemancing dari Kajang apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan memancing Gegar Pancing Selangor yang berlangsung di Kolam Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Ahad lalu.

Muhammad Nor Iman Mohd. Adnan, 21, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 selepas berjaya menaikkan ikan patin berkenaan pada pukul 9.24 pagi dengan menggunakan umpan roti pandan.

Beliau yang hadir bersama abangnya berkata, penyertaannya dalam pertandingan tersebut sekadar untuk mengisi masa lapang dan tidak menyangka muncul sebagai juara.

“Saya bersyukur kerana diberikan rezeki untuk memenangi pertandingan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.

Menurutnya, wang kemenangan akan digunakan untuk membantu perbelanjaan keluarganya.

Tempat kedua pula dimenangi Ahmad Shahir Roisuddin, 34, dari Kajang, Selangor selepas berjaya menaikkan ikan patin seberat 8.165 kilogram, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Muhammad Shahzarul Aqil Mohd. Shahrul, 15, dari Seremban, Negeri Sembilan menerusi tangkapan ikan patin seberat 8.000 kilogram bagi melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Menariknya, ketiga-tiga pemenang utama pertandingan berjaya memperoleh tangkapan menggunakan umpan roti pandan yang dilihat menjadi pilihan utama para pemancing pada pertandingan tersebut.

Pertandingan yang dianjurkan bersama oleh UPM Holdings dan Lestari Events dengan kerjasama Tourism Malaysia itu berjaya menarik hampir 500 peserta dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan, UPM Business Management Sdn. Bhd., Mohammad Zamzillah Ahmad.

 

About The Author