TUAH UMPAN CACING HADIAHKAN FIRDAUS GELARAN RAJA TALAPIA UPM 2026

0
279
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Fasilitator Khas PKPP UPM, Imran Nul Hakim.

SERDANG, 20 Jun – Tuah menggunakan umpan cacing membolehkan seorang pemancing muda dari Sungai Buloh, Muhammad Firdaus Mohd. Yuslan, 19, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Amatur Raja Talapia 2026 selepas berjaya menaikkan ikan tilapia seberat 680 gram di Kolam 2 Bukit Ekspo Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Kejayaan tersebut melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 sekali gus menewaskan hampir 200 peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

Firdaus berkata, kemenangan itu tidak pernah dijangka kerana saingan kali ini cukup sengit dengan penyertaan pemancing berpengalaman dari sekitar Serdang dan Lembah Klang.

Sebahagian 200 peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan di Kolam 1, UPM, Serdang.

“Saya memang gembira dan bersyukur kerana rezeki berpihak kepada saya hari ini. Saya hanya menggunakan umpan cacing dan tidak sangka berjaya menaikkan ikan paling berat dalam pertandingan ini,” katanya selepas menerima hadiah kemenangan.

Menurutnya, minat terhadap aktiviti memancing bermula sejak kecil hasil dorongan ahli keluarga yang sering membawanya mengikuti aktiviti rekreasi tersebut.

Katanya, sokongan keluarga menjadi faktor utama yang mendorongnya terus aktif dalam sukan memancing walaupun masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

“Keluarga banyak memberi sokongan kepada saya. Sebab itu saya mahu berkongsi kegembiraan dan kemenangan ini bersama mereka,” ujarnya.

Beliau turut berharap lebih banyak pertandingan seumpama itu dianjurkan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada pemancing amatur mengasah bakat serta berkongsi pengalaman.

Pertandingan anjuran Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM menerusi kursus QKS2118  Memancing itu merupakan penganjuran kali kesembilan dan melibatkan 70 pelajar sebagai urus setia program.

Pensyarah Kanan UPM, Azrul Hazri Jantan berkata, program tersebut menjadi platform terbaik untuk mendedahkan pelajar kepada aspek pengurusan projek, keusahawanan dan pembangunan kemahiran insaniah melalui pengalaman sebenar.

70 pelajar sebagai urus setia program Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM menerusi kursus QKS2118  Memancing itu merupakan penganjuran kali kesembilan berjaya capai matlamat.

“Selain mempromosikan sukan memancing, program ini turut membantu memperkenalkan kemudahan kolam UPM kepada masyarakat setempat serta menggalakkan aktiviti rekreasi yang sihat,” katanya.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi Sharizal Yusri, 40, dari Gombak yang berjaya menaikkan ikan tilapia seberat 643 gram dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Tempat ketiga pula menjadi milik Horriadi Mairi, 26, dari Serdang selepas berjaya memperoleh ikan tilapia seberat 612 gram sekali gus melayakkan beliau menerima hadiah RM250.

Secara keseluruhan, lebih 150 ekor ikan tilapia berjaya didaratkan sepanjang pertandingan yang mendapat sokongan rakan strategik TCE Tackles dan UPM Holdings itu, manakala hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Fasilitator Khas PKPP UPM, Imran Nul Hakim.

About The Author