RM20,000 JADI MILIK MOHD. SABRI

0
104
Para pemenang merakamkan gambar kenangan bersama para VIP selepas majlis penyampaian hadiah.

KUANTAN, 23 Jun – Tuah ayam nampak di kaki, tuah Mohd. Sabri Mat siapa tahu. Begitulah situasi yang berlaku dengan pemancing dari Kelantan itu apabila ikan bawal emas seberat 4.88 kilogram yang berjaya ditawannya membolehkan dia muncul juara Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour 2024 di Pantai Sepat, dekat sini hari ini.

Ikan bawal tersebut membolehkan Mohd. Sabri meraih hadiah wang tunai RM20,000 selaku juara keseluruhan pada pertandingan tersebut.

Beliau menewaskan pemancing dari Terengganu, Naziani Nazir yang berjaya menaikkan ikan pari seberat 1.845 kilogram dan Sauli Abd Manaf dari Selangor yang menaikkan ikan todak 1.750. kilogram pada pertandingan yang disertai lebih 900 peserta itu.

“Berbekalkan umpan udang hidup, memang sasaran saya adalah spesis ikan bersisik, tapi alhamdulillah saya berjaya menjinakkan bawal emas ini pada jam 11.35 pagi.

“Ini kemenangan terbesar pernah saya raih sejak aktif menyertai pertandingan memancing beberapa tahun lalu,’’ kata Mohd. Sabri.

Naziani dan Sauli yang menamatkan pertandingan tersebut di kedudukan kedua dan ketiga masing-masingnya membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan RM1,000.00.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuuk Seri Syafik Fauzan Sharif.

Turut hadir memeriahkan pertandingan tersebut adalah pegawai Tourism Malaysia Wilayah Timur, Rogayah Mohamad; Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran dan Pengerusi JPKK Pantai Sepat, Adnan Bakar.

Sementara itu, Md ali berkata bahawa pertandingan kali ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan berikutan yuran penyertaan yang murah berbanding pertandingan lain.

“Sokongan daripada pihak Tourism Malaysia menerusi program Cuti-Cuti Malaysia turut mendapat kepercayaan tinggi daripada para pemancing.

“Keyakinan bahawa acara ini bakal berlangsung tanpa masalah telah mendorong para pemancing dari seluruh negara untuk menyertai acara ini,’’ katanya.

Menurutnya lagi, satu lagi pertandingan akan daiadakan di lokasi sama pada 30 Jun ini iaitu pertandingan Shimano Surfcasting anjuran Kelab Sukan Memancing Profesional Bersatu Malaysia (Mupsac).

 

About The Author